PUTRAJAYA 14 Julai - Buat kali pertama seorang ahli Parti Keadilan
Rakyat (PKR) bertindak berani tampil ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) di
sini bagi mengemukakan aduan berhubung manipulasi proses pemilihan parti
tersebut.
Aduan berkenaan berkaitan proses pemilihan Cabang PKR Kuala Selangor
pada 11 Mei lalu yang menyaksikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam
dalam merebut jawatan Ketua Cabang.
Arijan Osman yang mengemukakan aduan itu mendakwa berlaku
penyelewengan ketika proses pemilihan Cabang Kuala Selangor dengan
mengesyaki wujud penglibatan terdiri dalam kalangan petugas pemilihan.
Arijan turut mendakwa, bekalan elektrik terputus selama dua jam
ketika proses pengiraan undi dibuat dan wakil-wakil calon telah dihalau
ketika kejadian itu berlaku.
"Pada waktu tersebut, kertas undi bertaburan di tempat pengiraan dan dipercayai telah diusik dan diganggu.
"Malah selepas tamat pengundian, wakil-wakil calon tidak dibenarkan
menyaksikan dan mengira jumlah kertas undi dikeluarkan sebaliknya hanya
dapat melihat peti undi dibungkus untuk dibawa ke ibu pejabat PKR untuk
pengiraan," katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau turut mendakwa para petugas telah cop kertas undi terlebih dahulu sebelum menyemak butiran pengundi.
Ujarnya, tindakan itu boleh menyebabkan sesiapa sahaja boleh mengundi
tanpa memastikan identiti sebenar pengundi sekali gus menimbulkan
kekeliruan dalam proses pengundian.
"Dakwaan yang saya sebutkan sebentar tadi merupakan antara isi aduan
yang dikemukakan kepada ROS dan banyak lagi kes telah berlaku pada hari
tersebut.
"Saya mempunyai bukti dan saksi untuk menyokong aduan ini dan bersedia membantu ROS bagi menjalankan siasatan," katanya.
Dalam pada itu, Arijan berkata, terdapat ramai ahli PKR yang ingin
membuat aduan berhubung penyelewengan pemilihan cabang masing-masing
namun tidak berani berbuat demikian kerana takut dikenakan tindakan
disiplin.
Ujarnya, beliau berkemungkinan berpotensi dipecat kerana membuat
kenyataan terbuka kepada media selain bakal menerima pelbagai tohmahan
termasuk didakwa menerima sogokan wang.
"Kita telah minta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR untuk
menjalankan siasatan, namun mereka hanya menafikan sebelum siasatan
dibuat," katanya.
Sementara itu, Arijan berkata, beliau mewakili ahli akar umbi Cabang
Kuala Selangor menyatakan sokongan padu kepada Abdul Khalid untuk
memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
"Kita menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid untuk terus memegang
jawatan berkenaan sehingga penggalnya habis kerana prestasi kepimpinan
beliau tidak boleh dinafikan melalui pelbagai perubahan termasuk usaha
merakyatkan ekonomi negeri Selangor," jelasnya.
SUMBER