Pages

Monday 10 December 2018

RUSUHAN KUIL : EMPAT LELAKI BELASAH MUHAMMAD ADIB DIBEBASKAN DENGAN JAMINAN!!!


PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan empat suspek yang membelasah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, di pekarangan kuil Maha Mariamman , USJ, Subang Jaya, dibebaskan.

Majistret Nurshahirah Abd. Salim membenarkan dua daripadanya dibebaskan dengan bon mahkamah berjumlah RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua suspek diwakili peguam Sri Threren.

Semua suspek berusia lingkungan 21 hingga 24 direman bermula Jumaat lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang merupakan anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya patah tulang rusuk selepas dipercayai dibelasah kumpulan perusuh di pekarangan Kuil Maha Mariamman, USJ, Subang Jaya.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di kuil berkenaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd. Ikhwan Mohd. Nasir terhadap lelaki itu tadi.

Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah). - K ONLINE!