KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
menyeru orang ramai agar menyokong usaha Pemuda Umno yang akan
mengadakan perhimpunan aman esok bagi mengecam filem Innocence of Muslims dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, filem dan karikatur terbaru membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
“Kita mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem yang
bersifat anti-Islam, Innocence of Muslims dan karikatur yang menghina
Nabi Muhammad oleh sebuah majalah Perancis, yang telah membangkitkan
kemarahan umat Islam di seluruh dunia," katanya selepas mempengerusikan
mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, ia satu perbuatan yang tidak
boleh diterima walaupun atas nama kebebasan bersuara yang merupakan
pegangan kuat masyarakat Barat, kerana ia telah mencemar kesucian Islam
serta kemuliaan Nabi Muhammad.
Bagaimanapun katanya, dalam umat Islam mempertahankan kesucian agama
Islam, pendekatan yang berhemah mesti digunakan dalam melahirkan
perasaan tidak puas hati dan bantahan terhadap filem dan kartun itu.
"Bantahan umat Islam secara keganasan dan melampau dalam isu ini
sehingga membawa kepada kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda
tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana Islam tidak menggalakkan penggunaan
keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah," katanya.
Perdana Menteri sebaliknya, dialog dan kerjasama antara masyarakat
untuk memupuk toleransi dan persefahaman perlu dipupuk sepanjang masa
sebagaimana yang digerakkan oleh Malaysia menerusi Gerakan Kesederhanaan
Global (GMM).
Pemuda Umno akan mengadakan protes berasingan daripada Dewan Pemuda Pas bagi mengecam penerbitan filem anti-Islam Innocence of Muslims dan kartun di dalam majalah Perancis Charlie Hebdo, esok.
Khairy berkata, perhimpunan Pemuda Umno, pergerakan Pemuda parti-parti
komponen serta lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan di
pekarangan Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat esok manakala Dewan
Pemuda Pas akan menganjurkan protes di pekarangan Kedutaan Amerika
Syarikat di Jalan Tun Razak
di sini.
Selain parti-parti komponen, antara NGO terlibat dalam protes di
pekarangan Masjid Kampung Baru esok termasuk Pertubuhan Peribumi
Perkasa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia
Malaysia, Alumni Aspirasi dan Belia 4B.
Dalam pada itu, Najib berkata, MT Umno turut mengutuk kenyataan tidak
bertanggungjawab Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam laman
sosial Twitternya yang mempertikaikan tindakan umat Islam membantah dan
menentang filem Innocence of Muslims.
Najib berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP itu jelas
memperlekehkan umat Islam dan tidak menjaga sensitiviti agama negara
ini.
"Kenyataan pemimpin ini jelas memperlekehkan umat Islam dan menunjukkan
DAP tidak peka kepada isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam,"
katanya.
Najib turut mempersoalkan keikhlasan Khoo Ham yang memohon maaf atas keterlanjurannya melalui Twitter, hari ini.
"Dalam isu agama kita tidak boleh cakap sebegitu dan bila timbulkan kemarahan, kita begitu senang memohon maaf," katanya.
Kasi hantam lagi ni DAP
ReplyDelete