Pages

Sunday, 28 October 2012

ZULFAHMI KEJAR SEMULA PELUMBA LAIN DI AUSTRALIA !!! DOA DARI RAKYAT MALAYSIA YANG TERBAIK UNTUK ZULFAHMI...

PHILLIP ISLAND - Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin bangkit pada saat akhir pusingan kelayakan, semalam untuk catatan lima terpantas bagi menempah barisan kedua perlumbaan Grand Prix Australia hari ini.
Litar Phillip Island terus menguji kecekalan pelumba berusia 21 tahun itu selepas motosikalnya berdepan bermasalah ketika terikat pada kedudukan 17.
Enam belas minit sebelum berakhir sesi kelayakan selama 40 minit, bendera amaran hujan dikibar dan harapan seolah-olah tertutup sehinggalah 10 lagi menjelang tamat sesi itu, apabila semua penunggang termasuk Zulfahmi kembali beraksi untuk memperbaiki catatan masa masing-masing.
Pelumba AirAsia SIC Ajo Racing Team itu yang menduduki tempat ke-27 tahun lepas dalam kelas 125cc, kembali memecut selepas jenteranya yang berkuasa 250cc diberi sentuhan baru oleh para mekanik pasukan.
Dari kedudukan tangga ke-17, Zulfahmi meningkat ke tangga kesembilan dan meneruskan pecutannya untuk satu lagi lap terakhir.
Dalam sesi kelayakan semalam, Sandro Cortese mencatat masa terpantas satu minit 38.334 saat manakala Zulfahmi mencatat 1.39.229s.
Dia akan memulakan perlumbaan hari ini di barisan kedua bersama Danny Kent dan Miguel Olivera yang masing-masing menempah petak keempat dan keenam.
Sementara Cortese yang baharu sahaja dinobatkan selaku juara dunia kategori Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang dan pemenang kelas 125cc tahun lalu akan menyertai rakan senegara dari Jerman, Jonas Folger yang mencatat 1.38.727s dan pelumba Sepanyol, Efren Vasquez ketiga terpantas dengan catatan 1.39.179s.
Mengulas persembahan Zulfahmi, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pelumba itu berjaya mengawal keadaan dengan baik sekalipun berdepan dengan masalah.
"Ini membuktikan dia memiliki kualiti pelumba yang baik. Dia menunjukkan kematangan ketika berdepan situasi cemas dan masih memiliki semangat berjuang yang tinggi untuk bangkit mencari kedudukan terbaik walaupun ketinggalan pada awalnya.
"Posisi kelima membolehkan dia bersaing dengan kelompok utama. Apa yang diperlukannya sekarang adalah menyusun strategi yang baik untuk mendapatkan keputusan terbaik. Peluang menaiki podium tidak mustahil jika strateginya tepat, seperti yang dilakukannya di Sepang," kata Razlan.
Dengan GP Australia dan GP Valencia yang masih tinggal, Zulfahmi setakat ini mengumpul 112 mata.




No comments:

Post a Comment