Kegagalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan
persetujuan sekutunya iaitu DAP dan Pas menyebabkan mereka sehingga kini
gagal mengemukakan senarai Kabinet bayangan yang dijanjikan sejak
Pilihan Raya Umum 2008.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kegagalan
itu membuktikan pakatan pembangkang yang wujud tanpa sebarang perjanjian
rasmi dan bertulis tidak akan mampu mentadbir negara dengan berkesan.
Katanya, ketidakmampuan pembangkang yang diketuai Anwar daripada
Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu disebabkan para pemimpin
setiap parti berkenaan bercita-cita besar mahu menjadi Perdana Menteri
atau sekurang-kurangnya memegang portfolio penting dalam kerajaan.
"Kita harus ingat, pakatan pembangkang bukan coalition, tetapi
perjanjian secara tak bertulis untuk lawan Barisan Nasional (BN),
mereka tiada perancangan masa depan, sebab itu sukar untuk pilih
pemimpin kerana masing-masing mahu jadi pemimpin.
"Anwar ingat beliau akan jadi Perdana Menteri, tetapi orang lain pun
ada cita-cita besar, DAP pun teringin juga," katanya kepada wartawan
Malaysia selepas menyampaikan syarahan bertajuk Cerminan Pengalaman Pembangunan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang berada selama tiga hari di sini sejak semalam dijemput
khas kerajaan Sudan bagi menghadiri Forum Perdagangan dan Pelaburan
Malaysia-Sudan (Masutif) yang julung kali dianjurkan serta menyaksikan
beberapa memorandum persefahaman (MoU) membabitkan syarikat-syarikat
dari kedua-dua negara ditandatangani.
Dr. Mahathir mengulas keengganan Anwar mengumumkan senarai Kabinet
bayangan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun berjanji
berbuat demikian sejak 2008.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini juga mencabar
Anwar menyenaraikan senarai Kabinet bayangan tersebut dan kegagalan
berbuat demikian membuktikan mereka tidak mampu mentadbir negara.
Dr. Mahathir menambah, rakyat perlu memandang serius kegagalan
pembangkang tersebut kerana pembangkang jelas tidak mempunyai
perancangan membangunkan negara.
Menurut beliau, pembangkang juga gagal menjaga kepentingan rakyat dan
keadaan itu berbeza dengan kemantapan kerjasama dalam BN yang telah
memerintah selama 55 tahun.
No comments:
Post a Comment