Orang Melayu di negara ini perlu bersatu padu
memberi sokongan penuh kepada perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk
menghadapi pilihan raya umum kelak.
Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa),
Datuk Salleh Ismail, berkata sokongan itu perlu memandangkan UMNO
merupakan sebuah parti yang telah berjaya menjaga kekuatan Melayu selama
ini dan ia juga selari dengan perjuangan Perkasa.
Menurutnya, negara kini sedang menghadapi ancaman besar disebabkan
pergolakan politik yang telah dicetuskan pihak pembangkang sehingga
menyebabkan orang Melayu semakin berpecah.
Kata beliau, sekiranya orang Melayu masih belum bersatu dan memberi
sokongan kepada UMNO, tidak mustahil nanti tiga keistimewaan yang
diperjuangkan selama ini seperti hak orang Melayu, agama Islam dan
kedaulatan raja akan diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab itu.
"Orang Melayu kira-kira 60 peratus di negara ini perlu bersatu
memberi sokongan kepada parti yang menjaga kekuatan orang Melayu bagi
mencapai majoriti dua pertiga pada pilihan raya (umum) kelak.
"Dengan kekuatan majoriti tersebut, kedudukan orang Melayu akan lebih
terjamin," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perkasa
Peringkat Negeri Kelantan di sini semalam.
Turut hadir Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Perkasa Kelantan, Mohd. Fauzi Mohamad.
Kira-kira 1,000 ahli dari seluruh negeri itu menghadiri mesyuarat
tersebut yang diadakan di dewan Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK).
Mohd. Fauzi dalam ucapannya, menyifatkan Pas sebuah parti yang telah memecahbelahkan perpaduan terutamanya di negeri ini.
No comments:
Post a Comment