Pages

Wednesday, 26 December 2012

MUNAFIK JIKA NIK AZIZ TERUS BERDIAM DIRI !!!



Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak wajar berdiam diri, sebaliknya perlu memberikan penjelasan berhubung dakwaan menawarkan tanah balak seluas 4,259 hektar di Gua Musang kepada dua pemimpin DAP Perak.
Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, jika dakwaan tersebut tidak benar, Mursyidul Am Pas itu harus mengambil tindakan undang-undang ke atas blog pisau.net yang mendedahkan perkara itu sebelum pengakuan dibuat oleh kedua-dua pemimpin DAP terbabit.
"Kedua-dua pemimpin ini telah mengaku melabur dalam Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang mendapat projek pembalakan itu, tetapi sehingga hari ini Nik Abdul Aziz masih berdiam diri.
"Beliau perlu membuat penjelasan terutamanya kepada seluruh rakyat Kelantan kerana ia bukan isu kepartian malah satu kebenaran yang perlu rakyat lihat di sebalik pemerintahan Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia menyiarkan pengakuan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa beliau dan Nga Kor Ming yang juga Setiausaha DAP negeri melabur dalam syarikat yang mendapat projek pembalakan di Kelantan itu.
Baru-baru ini, blog pisau.net mendedahkan dakwaan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut telah diberikan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Nik Abdul Aziz sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar selepas pilihan raya umum 2008.
Namun, Nik Abdul Aziz menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pemimpin DAP itu dan mendakwa berita tersebut adalah fitnah.
Dalam pada itu, Wan Khairul Ihsan berkata, Menteri Besar Kelantan tersebut juga perlu menjawab persoalan lebih besar berhubung tindakannya yang cukup bermurah hati memberikan projek pembalakan tersebut sedangkan pemimpin DAP terbabit secara terang-terangan menghina rasul dan Islam dalam isu filem anti-Islam, Innocence of Muslims.
Pemberian projek itu katanya, boleh disifatkan sebagai rasuah jika dilakukan sebagai menentukan hala tuju terhadap keputusan yang akan diambil.
"Persoalannya kenapa Nik Abdul Aziz memberikan projek itu kepada dua pemimpin DAP ini, adakah beliau terlupa inilah manusia yang menghina rasul dan Islam?
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuat siasatan segera tanpa bersikap dwi standard kerana sehingga hari ini kita masih belum mendengar apa-apa tindakan telah dibuat oleh agensi penguatkuasaan ini," katanya.


No comments:

Post a Comment