Sidangan Dewan
Undangan Negeri (Dun) hari ini kecoh apabila beberapa wakil rakyat
Barisan Nasional (BN) membangkitkan pemberian tanah melibatkan dua
pemimpin DAP Perak sebagai habuan bagi melantik Datuk Seri Nizar
Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.
Kekecohan
bermula apabila Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) yang
membahaskan Belanjawan Perak 2013 di persidangan Dun berhubung isu tanah
di Perak.
Datuk Rosli
Husin (BN-Trong) bangun dan meminta penjelasan mengenai sebidang tanah
di Kelantan yang didakwa diberikan kepada dua pemimpin DAP terbabit
sebagai pertukaran Nizar dilantik sebagai menteri besar sedangkan DAP
memenangi banyak kerusi di Perak berbanding Pas pada Pilihan Raya Umum
ke-12 (PRU12).
Beliau berkata
sebelum pelantikan menteri besar sememangnya ada pertikaian antara DAP
dan Pas mengenai siapa yang sepatutnya menjadi menteri besar.
Wong Kah Woh
(DAP-Canning) yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu mencabar
Rosli untuk mendedahkan bukti dakwaannya di luar dewan.
"Sekiranya dakwaan Trong benar perlu bersikap jantan, sekiranya ada bukti buat kenyataan di luar untuk tentukan," katanya.
Khusairi
kemudian mendedahkan dua pembeli tanah seluas lebih 4,000 hektar di Gua
Musang, Kelantan iaitu Syarikat Efektif Kirana Sdn Bhd dan Pengerusi DAP
Perak Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) untuk tujuan pembalakan.
Beliau juga mendakwa transaksi itu juga melibatkan Setiausaha DAP Perak, Nga Koo Meng (DAP-Pantai Remis).
Khusairi juga
mempersoalkan adakah kerajaan Kelantan yang diterajui Pas turut terlibat
dalam memastikan calon daripada parti itu dilantik sebagai
menteri besar Perak.
Nizar
(Pas-Pasir Panjang) kemudian mendedahkan kononnya beliau ditawarkan
jawatan menteri besar jika menyertai Umno selepas keputusan PRU-12
diumumkan.
"Zambry
(Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) masa menjadi Exco
ketika baik dengan abang saya. Dia (Zambry) menghubungi abang saya
memberitahu bahawa Adun Pangkor (Zambry) menawarkan saya untuk menjadi
menteri besar sekiranya saya menyertai Umno," katanya.
Zambry kemudian
bangun dan mendakwa Nizar sekali lagi melakukan pembohongan dan beliau
bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tidak pernah membuat
tawaran itu.
"Saya melihat
Adun Pasir Panjang ini hidup penuh dengan pembohongan, kalau nak
bersumpah saya akan bersumpah dan saya berani bersemuka dengan orang itu
(abang Nizar)," katanya.
Tan Sri Tajol
Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) kemudian bangun menjelaskan bahawa
Zambry tidak mempunyai kuasa dalam isu pelantikan menteri besar ketika
itu memandangkan beliau (Tajol Rosli) adalah Pengerusi Barisan Nasional
Perak dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
Menyambung
perbahasan, Khusairi turut mempersoalkan bagaimana pemimpin DAP itu
memperoleh duit untuk membeli tanah walaupun hanya 11 bulan pakatan
pembangkang memerintah Perak.
Perdebatan itu berterusan sehingga Speaker Datuk R. Ganesan mengarahkan Khusairi menyambung perbahasan. - Bernama
No comments:
Post a Comment