ALABAMA
26 Dis. - Beberapa siri puting beliung melanda selatan Amerika Syarikat
(AS), membawa bersama ribut dan angin kuat yang merosakkan kediaman
serta menyebabkan lebih 100,000 penduduk terpaksa bergelap ketika
meraikan sambutan Krismas, semalam.
Dalam masa yang sama,
beberapa bahagian di barat tengah AS pula berdepan hujan ais dan keadaan
tidak menentu, berikutan kehadiran ribut dengan angin berkelajuan yang
sama dengan puting beliung.
Tiga kematian dicatatkan di AS berikutan kejadian tersebut, manakala
berpuluh-puluh lagi mangsa cedera dan terpaksa meninggalkan kediaman
untuk berlindung di tempat selamat, terutama di Alabama dan Louisiana.
Seperti diramal, beberapa kawasan di Alabama dilaporkan mengalami cuaca
tidak menentu sepanjang hari dan amaran puting beliung dikekalkan
sehingga malam tadi.
Di Houston, Texas, seorang pemandu sebuah
kenderaan pacuan empat roda maut, selepas kenderaannya dihempap sebatang
pokok, awal pagi semalam.
Seorang lelaki berusia 53 tahun pula terbunuh di utara Louisiana, apabila sebatang pokok menghempap kediamannya.
Sementara itu, keadaan jalan raya yang licin diselimuti ais menyebabkan
21 buah kenderaan berlanggar di Oklahoma, menyebabkan seorang wanita
berusia 28 tahun terbunuh berdekatan Fairview, lewat malam tadi.
Jabatan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, sekurang-kurangnya tiga
puting beliung dilaporkan melanda Texas, walaupun hanya sebuah bangunan
dilaporkan rosak.
Laman web FlightAware.com berkata, lebih 500
penerbangan di seluruh negara terpaksa dibatalkan menjelang petang
semalam. - AGENSI
No comments:
Post a Comment