Pages

Monday, 21 January 2013

7 janji NAJIB di KELANTAN !!!





KOTA BHARU 20 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tujuh projek besar yang bakal dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) bagi memajukan negeri ini sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum akan datang.
Perdana Menteri berkata, projek tersebut adalah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, pembinaan stadium baharu, perumahan rakyat sebanyak 3,000 unit, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar.
Projek lain adalah membina masjid terbesar yang menjadi ikon di negeri ini dengan kos kira-kira RM50 juta, mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu serta menyelesaikan masalah air.
"Ambo (saya) sebut tujuh perkara ini hanya sebahagian daripada manifesto kita, belum lengkap lagi. Ambo nak simpan modal ni, sebab ambo nak acap turun Kelantan nak umum lagi," katanya berucap merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri, di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.
Pengumuman projek tersebut disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh oleh kira-kira 50,000 orang hadirin pada majlis tersebut.
Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Menurut Perdana Menteri, rakyat Kelantan sememangnya dahagakan pembangunan termasuk tujuh projek itu dan kerajaan BN akan menunaikan janji tersebut demi kemajuan mereka sekiranya diberi mandat.
Beliau yang memberitahu masa untuk rakyat membuat keputusan semakin hampir apabila tarikh pilihan raya diumumkan tidak lama lagi berkata, anak Kelantan amat berbakat dan ramai yang menjadi pemimpin negara meskipun datang daripada keluarga susah, dan kalau mereka diberi peluang, boleh menjadi role model kepada negara.
"Kita kena pastikan bumi Kelantan, potensi rakyat Kelantan akan menjadi kenyataan sepenuhnya, inilah janji kerajaan BN. Kerajaan BN tidak melupakan untuk mendahulukan rakyat dalam tindakan kita," katanya.
Najib berkata, hanya dengan transformasi masa depan rakyat Kelantan boleh diubah dan diperbaiki dan BN sentiasa meletakkan kemahuan tersebut sebagai sebahagian dasar perjuangan parti itu.
Beliau bagaimanapun mengingatkan transformasi yang berjaya dilaksanakan oleh kerajaan di peringkat Pusat tidak boleh dilakukan di negeri ini hanya dengan menggantung slogan dan bendera tinggi di atas pokok atau mewarnakan hijau dinding, bumbung dan pagar seolah-olah terjamin kedudukan umat Islam serta agama Islam.
"Kita tidak janjikan bintang, cakerawala atau syurga. Kita janjikan transformasi menyeluruh untuk rakyat Malaysia.
"Inilah yang dilakukan kerajaan kita iaitu melakukan perubahan yang besar yang digelar transformasi, dan transformasi ini, ambo lihat di bumi Kelantan juga akan kita lakukan," katanya.







No comments:

Post a Comment