Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairuz Khairuddin berkata rakyat terutamanya penyokong Pas perlu sedar hakikat bahawa Pas tidak akan mampu menggantikan UMNO apatah lagi untuk memimpin pembangkang.
Hakikat tersebut tegas beliau berdasarkan fakta kerana Pas tidak pernah mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan sepanjang 12 kali pilihan raya umum lalu.
Ini kerana katanya sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang ditandingi Pas kurang daripada separuh dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan.
“Bermula dari tahun 1969, Pas hanya bertanding sebanyak 62 daripada 144 kerusi di Parlimen. Tahun 1990 hanya sebanyak 29 daripda 180 kerusi,, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Sekiranya Pas menang di semua kerusi yang dipertandingkan pun tegas beliau sudah terang lagi bersuluh parti ini tidak boleh sama sekali membentuk kerajaan.
“Perlu diingat, Pas hanya menang kesemua kerusi mereka ketika mereka bersama BN dalam pilihan raya 1974. Kini setelah bergabung dengan pakatan pembangkang, Pas terus menjadi sebuah parti yang ibarat melukut di tepi gantang.
“Pas hanya mampu menunduk mengikut telunjuk rakan sekutu mereka iaitu DAP dan PKR. Dengan sikap sebegini, mampukah mereka menjadi parti yang mampu menjadi peneraju utama negara… Hakikatnya Pas tidak bersedia untuk menjadi sebuah parti dominan,” ujarnya.
Tambah Fairuz, jelas dapat dilihat dalam pakatan pembangkang sendiri Pas tidak mampu menyanggah DAP dan PKR yang sentiasa mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Pas termasuklah prinsip perjuangan mereka sendiri untuk melaksanakan hudud dan menubuhkan negara Islam.
Tegasnya lagi, Pas di Selangor sahaja sudah memberikan gambaran jelas bahawa parti itu hanya sebagai pengikut setia yang bersedia menurut perintah sehingga portfolio Exco Agama yang sepatutnya disandang Pas telah dirampas PKR.
“Jika benar Pas dominan dalam pakatan pembangkang, mengapa jawatan Exco Agama tidak diberikan kepada parti itu tetapi sebaliknya dijaga oleh PKR.
“Lagi satu, kalau dominan, mengapa hukum hudud tidak dimasukkan ke dalam Buku Jingga yang menjadi ‘kitab’ perjuangan mereka?” ujarnya.
Katanya lagi, rakyat perlu menilai persoalan-persoalan itu dan hanya mereka yang tidak berfikir secara waras sahaja percaya Pas parti dominan dan terus ditipu oleh Pas yang kononnya mampu untuk menjadi parti yang bakal memimpin pucuk pimpinan negara.
No comments:
Post a Comment