PAS kelihatan takut dengan bayang sendiri bila tidak bersedia menyerahkan senarai nama calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan.
Menyatakan demikian, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti pembangkang itu memang tidak berani menentukan bersih atau tidaknya bakal calon mereka.
"Sudah menjadi sikap Pas dan pakatan pembangkang yang suka menentang prosedur termasuk berkaitan saringan oleh SPRM. Kita (Barisan Nasional) memang akur dengan saringan yang dibuat oleh SPRM kerana mahu pastikan calon kita bersih dan tidak timbul masalah kemudian, berbanding Pas," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
"Pas yang gemar menuduh UMNO/BN terbabit rasuah, penyelewengan dan sebagainya, cepat-cepat desak dan pergi ke SPRM untuk disiasat, tetapi apabila pemimpin mereka sendiri terbabit, mereka tidak lapor pun untuk disiasat," katanya.
Beliau mengulas keputusan Pas tidak akan menyerahkan senarai nama bakal calon mereka kepada SPRM, sebagaimana dilakukan UMNO dan BN, kerana percaya semua calon mereka bersih.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga ini Pas berpuas hati dengan semakan dan siasatan senarai nama calon yang dibuat jawatankausa dalaman parti itu yang telah diteliti Majlis Syura.
Mengenai isu kalimah Allah, Ahmad berkata, ahli PAS yang waras pemikiran akan menolak dan meninggalkan parti itu apabila membenarkan kalimah suci itu digunakan oleh bukan Islam.
"Tapi, bagi yang taksub, buat apa pun dia akan anggap pemimpin mereka betul," katanya.
No comments:
Post a Comment