Bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad akan mewakili Barisan Nasional untuk menentang Wan Aishah Wan Ariffin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk merebut kerusi Parlimen Jempol.
Nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Razali Wan Awang di Dewan Pejabat Daerah Jempol, di sini hari ini.
Mohd. Isa yang tiba di dewan berkenaan pada pukul, 8.45 pagi disambut lebih 4,000 penyokong BN yang terdiri daripada warga Felda, manakala Aishah tiba lebih awal pada pukl 8.30 pagi bersama lebih 500 penyokongnya.
"Saya gembira dengan sokongan warga Felda dan percaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya akan dimenangi oleh BN pada PRU-13 ini," kata Mohd. Isa.
Sementara itu, Aishah yang pernah popular dengan lagu Janji Manismu ketika ditemui berkata, dia akan membawa perubahan di kawasan Parlimen itu dengan bersandarkan latar belakangnya sebagai artis.
"Kalau orang lain boleh terima sebagai pemimpin, kenapa masyarakat tidak boleh terima artis sebagai pemimpin," kata Aishah.
Dalam pada itu, kerusi DUN Jeram Padang adalah antara yang panas pagi ini apabila calon BN, L. Manickam akan ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), T. Kumar serta dua calon Bebas, Zailani Zakaria yang menggunakan logo bunga raya dan R. Mazavan dengan logo ikan.
Sementara di DUN Serting, calon BN yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli akan ditentang calon Pas, Abd. Rahman Ramli, manakala DUN Palong menyaksikan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin mewakili BN akan ditentang calon PKR, Rebin Birham.
Bagi DUN Bahau, doktor yang mewakili BN, Dr. Yee Mee Faa akan ditentang calon DAP, Chew Seh Yong.
No comments:
Post a Comment