TERDAPAT perbezaan yang ketara antara `tunjuk muka' dan `buat kerja'. Orang yang selalu `tunjuk muka' belum tentu adalah mereka yang `buat kerja' tetapi orang yang buat kerja tidak perlu lagi menunjukkan mukanya untuk memberitahu masyarakat bahawa dia buat kerja.
Konsep ini dihuraikan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Khairy Jamaludin semasa berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Taman Marida, Senawang dekat sini malam semalam.
Majlis tersebut menampilkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kata Khairy, pengundi perlu memilih wakil rakyat yang buat kerja dan bukannya yang rajin menunjukkan muka, tetapi hasilnya tiada.
Menurutnya, banyak isu rakyat yang memerlukan pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah di kawasan mereka seperti longkang tersumbat, jalan berlubang, rumah terbakar, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya.
Sebagai wakil rakyat, jelasnya, semua masalah itu boleh diselesaikan melalui banyak saluran bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
"Malangnya, seringkali alasan yang dikemukakan oleh wakil rakyat pembangkang ialah mereka tidak ada duit atau tidak ada kuasa untuk selesaikannya.
"Ini adalah tidak benar. Masalah ini tidak memerlukan duit wakil rakyat untuk diselesaikan. Apa yang perlu dilakukan ialah mereka merujuk kes-kes tersebut kepada pihak yang berkenaan.
"Wakil rakyat perlu buat kerja. Pergi ke jabatan kerajaan yang berkenaan. Usahalah sedikit dan bukannya tunjuk muka dan pergi begitu sahaja.
"Lebih teruk lagi, masalah tidak selesai tetapi menjadikannya pula modal untuk menyalahkan kerajaan," ujarnya.
Itu yang sering berlaku dalam tempoh lima tahun lalu di kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang. Semua masalah rakyat diselesaikan oleh wakil yang dilantik oleh BN.
Tetapi dalam bab menunjuk muka, tidak gagal pula dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang.
Malah dalam kes tertentu, mereka ini tidak segan silu mendakwa bahawa atas usaha merekalah sesuatu masalah itu dapat diselesaikan.
Seperti yang diceritakan oleh Mohamad pada majlis yang sama mengenai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani yang mendakwa pembinaan Masjid At-Taqwa, Paroi adalah atas usahanya.
Sedangkan, pembinaan masjid itu dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah yang datang ke negeri ini untuk merasmikan penamaan Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi pada 29 Ogos 2006.
"Saya dan Pak Lah telah berbincang dalam kereta semasa dalam perjalanan ke majlis itu dan beliau sendiri telah menyatakan persetujuan pembinaan masjid tersebut," kata Mohamad.
Sikap hanya pandai menunjuk muka tetapi kantoi juga terserlah semasa Mohamad Taufek mengusung Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya untuk membongkar penerokaan Hutan Simpan Kekal Miku di Rembau, baru-baru ini.
Akibat terlalu ghairah hendak tunjuk muka, akhirnya malu sendiri apabila apa yang didakwa sebagai Hutan Simpan Kekal Miku sebenarnya tidak wujud sama sekali dalam peta Jabatan Perhutanan negeri.(baca di sini lagi menarik...)
No comments:
Post a Comment