Pengerusi DAP, Karpal Singh berpendapat pendedahan yang dibuat oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjejaskan pakatan pembangkang.
Karpal berkata, segala yang dibincangkan antara Jusuf dengan Ketua Pembangkang itu tidak seharusnya didedahkan kepada umum.
"Kenyataan yang dikeluarkan Jusuf boleh menjejaskan pakatan pembangkang dan menimbulkan persoalan tentang kredibiliti Anwar.
"Jika Anwar terjejas, ia juga memberi kesan kepada komponen dalam pakatan pembangkang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Jusuf mendakwa Anwar mendapat dana besar dari pihak asing untuk menganjurkan siri perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Jusuf turut mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai imaginasi melampau dan ego kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri meskipun parti pimpinannya kalah dalam PRU-13 lalu.
Mengulas lanjut, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Jusuf harus meminta maaf secara terbuka kerana menuduh Anwar mendapat bantuan dana asing untuk menjalankan perhimpunan berkenaan.
"Beliau harus menyatakan rasa kesalnya kerana menuduh Anwar seperti itu," katanya.
No comments:
Post a Comment