Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad
Wan Omar menyifatkan pembangkang sebagai hipokrit kerana akan mengangkat
sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen meskipun mempertikai keputusan
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Beliau berkata pembangkang cepat berubah pendirian dan setiap perbuatan mereka tidak selari dengan prinsip.
"Mereka menang 89 kerusi (Parlimen) dan tiga negeri menang semuanya
lebih dua pertiga kerusi, tetapi di jalan raya mereka menolak keputusan
pilihan raya dan ini perkara yang betul-betul hipokrit.
"Prinsip tidak sama dengan perbuatan, prinsip kononnya tidak boleh
menerima keputusan pilihan raya, tetapi perbuatannya? Kita tengok
sekarang, cepat-cepat angkat sumpah, cepat-cepat ubah (pendirian),
sebelum ini cuma nak boikot, taklimat dia kata," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis syarahan jamuan
tengah hari anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Institut
Perkembangan Minda (INMIND) bertajuk "PRU13: Terima Keputusan Rakyat" di
sini hari ini.
Selain itu, Wan Ahmad berkata pembangkang juga dilihat hipokrit
apabila mendakwa sistem pilihan raya negara ini tidak adil namun mereka
tetap menghantar calon bertanding.
"Kalau pembangkang tidak yakin daripada mula tentang undang-undang
pilihan raya, ketelusan pilihan raya dan kononnya berlaku penipuan...
mereka tidak perlu bersusah payah untuk menyertai pilihan raya.
"Tetapi dia masuk bertanding sebab percaya pilihan raya kita adil,
percaya boleh mendapat kemenangan kerana kemenangan ada di tangan
rakyat. Mereka menang, dapat tubuh kerajaan, dapat pecahkan monopoli
parti pemerintah," katanya.
Beliau berkata pembangkang hanya mempergunakan rakyat bagi menyokong
prinsip tidak menerima keputusan pilihan raya dengan mengheret mereka ke
perhimpunan jalanan, namun pada masa sama mengakui diri wakil rakyat
yang dilantik menerusi proses pilihan raya.
Wan Ahmad juga berkata SPR tidak akan melayan segala desakan
pembangkang kerana tuntutan mereka di luar garis perlembagaan dan
peruntukan undang-undang.
"Pembangkang tuntut SPR untuk letak jawatan, tidak masuk akal sebab
menurut Perlembagaan, itu bukan caranya; menuntut pilihan raya diadakan
semula di 30 kawasan yang mereka menang kecil, tidak masuk akal sebab
kalau mereka tidak percaya keputusan pilihan raya, buat bantahan melalui
petisyen pilihan raya, dalam Perlembagaan, Perkara 118.
"Selain itu, mereka menuntut kajian semula persempadanan ditangguhkan
sementara, menurut Perlembagaan ia perlu dibuat selepas tempoh lapan
tahun, sudah sampai masanya dan tidak boleh dilengahkan.
"Bagaimanapun, mereka mahu perkara itu dibuat sehingga dapat lantikan
SPR baharu. Nak lantik di bawah undang-undang mana?" soalnya. -
No comments:
Post a Comment