Pages

Friday, 20 September 2013

TAK PUAS HATI KES MAYAT CHIN PENG KITA JUMPA DI MAHKAMAH !!!



Pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan penegasan kerajaan menghalang jasad bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng disemadikan di negara ini boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menafikan dakwaan kerajaan telah melanggar perjanjian damai dengan PKM di Hatyai, Thailand pada 1989 ketika membuat penegasan berkenaan.

Berhubung perkara tersebut, beliau mengingatkan pihak yang berterusan 'berjuang' untuk membawa pulang jasad Chin Peng ke negara ini bahawa pemimpin komunis itu tidak pernah melakukan sebarang tindakan ke arah untuk menjadi warganegara Malaysia sepanjang setahun perjanjian itu dimeterai.
''Itu tidak benar (dakwaan kerajaan melanggar perjanjian damai di Hatyai), sebab saya sudah semak perjanjian itu, Chin Peng telah diberi peluang memohon sebagai warganegara dalam tempoh setahun.
''Tetapi dia enggan berbuat demikian dan tidak melakukan apa-apa tindakan ke arah untuk menjadi warganegara dan dengan ini hak dia sudah luput,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama perasmian Persidangan The Middle Temple 2013 di sini hari ini.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang tinggal di Thailand mati di sebuah hospital di Bangkok pada pukul 6.20 pagi, Isnin lalu akibat sakit tua.
Sepanjang mengetuai komunis semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989, pelbagai kekejaman dilakukan Chin Peng serta pengikutnya terhadap anggota keselamatan negara serta orang awam.
Najib memberitahu, walaupun menyedari akan permintaan segelintir pihak supaya jasad Chin Peng dibawa pulang ke negara ini atas dasar kemanusiaan, kekejaman Chin Peng tidak boleh dilupakan khususnya bagi mangsa-mangsa komunis.

''Saya menyedari permintaan itu tetapi kita tidak boleh lupa mangsa-mangsa kekejaman komunis. Berapa ramai orang yang telah meninggal dunia dan berapa banyak telah cedera dan hilang mata pencarian mereka?
''Chin Peng bertanggungjawab membunuh beribu-ribu tentera, pegawai polis dan orang awam. (Pertimbangan) perlu dilihat dalam konteks itu,'' tegasnya.

Kepada soalan sama ada kerajaan akan menghantar wakil untuk penghormatan terakhir Chin Peng di Thailand, ujarnya, kerajaan tidak memberi penghormatan kepada orang yang telah membunuh beribu-ribu nyawa.









No comments:

Post a Comment