Dua lelaki dipercayai anggota kongsi gelap Geng 08 ditahan dalam Op Cantas Khas di Taman Bukit Cheras, di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh
berkata, dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, kedua-dua suspek yang
menaiki sebuah lori, ditahan polis peronda dan polis menemui sebatang
besi, sebilah pisau dan sebatang besi runcing di tempat duduk lori itu.
Beliau tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek yang berusia 21
dan 23 tahun itu menggunakan senjata tajam berkenaan untuk tujuan
menyamun dan merompak.
"Kedua-dua suspek itu mempunyai tatu lambang anggota kumpulan kongsi
gelap dipercayai Geng 08 apabila diperiksa dan mereka kini ditahan reman
bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada sidang media di
sini hari ini.
Pada Sabtu juga, menurut Mohan Singh, polis menjumpai sepucuk pistol
jenis 0.38mm tanpa peluru di hadapan lif sebuah apartment di Desa Sri
Putri, Desa Petaling di sini, kira-kira pukul 10 malam.
"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 20
dan 29 tahun untuk membantu siasatan, bagaimanapun ketiga-tiganya
dibebaskan dengan jaminan polis," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment