Seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) ditemui rentung di rumahnya
di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah Panching, Jalan Sungai Lembing
dekat sini pagi tadi.
Nor Adibah Mohamad, 16, ditemui rentung oleh pihak bomba dan penyelamat di dalam sebuah bilik kira-kira 11 pagi.
Seorang jiran Wahid Awang, 49, berkata, beliau merasa terkilan kerana gagal menyelamatkan mangsa.
"Saya cuba menendang pintu bilik mangsa beberapa kali namun tidak
berjaya lalu terpaksa keluar menyelamatkan diri selepas api mula marak
di bahagian bumbung beserta asap yang terlalu tebal," katanya.
Beliau berkata beliau sedang menunggang motosikal sebelum ternampak
api menyambar bahagian atap dapur rumah milik ibu bapa mangsa iaitu
Mohamad Jaafar dan Rafiah Salleh.
"Saya segera ke rumah itu untuk membantu selepas melihat Rafiah yang
kelam kabut di luar rumah dan memberitahu anaknya masih terperangkap di
dalam rumah," katanya.
Abang mangsa Azizan, 29, berkata, beliau tidak berada di rumah ketika kejadian.
"Saya hanya mengetahui mengenai kebakaran selepas saya dihubungi dan
lalu segera pulang namun segalanya sudah musnah dan paling memeranjatkan
apabila diberitahu adik saya rentung.
"Walaupun mengidap down sindrom, dia seorang yang peramah dan suka bergurau dengan kami dan jiran-jiran," tambahnya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar
Hassan berkata, pihaknya menghantar 20 anggota bersama empat jentera
untuk memadam kebakaran namun gagal menyelamatkan rumah itu yang musnah
sama sekali.
Sebuah lagi rumah yang berkembar dengan rumah itu turut rosak, katanya.
Punca kebakaran belum diketahui. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment