Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yakin penggunaan setem tidak akan
terkubur dengan kemajuan teknologi moden penghantaran surat yang ada
pada masa kini.
Ketua Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, walaupun
kemajuan pesat penggunaan teknologi moden penghantaran surat, beliau
yakin setem masih berada pada kelasnya yang tersendiri untuk berdaya
maju.
"Memang dengan adanya khidmat pesanan ringkas (SMS), dan juga
pelbagai media sosial yang mampu menghantar surat, pesanan dan berita
dengan sekelip mata, setem masih lagi mempunyai peminatnya tersendiri.
"Ini terbukti kerana walaupun pengeluaran setem biasa kita lihat ada
sedikit penurunan, namun pengeluaran setem-setem hari pertama yang kami
keluarkan meningkat naik.
"Ia disebabkan pengumpul-pengumpul setem masih lagi dahagakan pelbagai setem hari pertama yang Pos Malaysia keluarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar
memperkenalkan setem hari pertama terbaharu Buan-Buahan Nadir Malaysia
Siri ke-IV di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengurus
Pengeluaran Setem, Diyana Lean Abdullah.
Yasmin menambah, dengan adanya setem hari pertama ini, Pos Malaysia
dapat memberi gambaran kepada orang ramai khususnya pengumpul setem
mengenai pelbagai keunikan yang ada di negara ini.
"Sebagai contoh buah-buah nadir ini, saya pasti tidak ramai yang
pernah melihat buah Nona, Markisa dan Nam-Nam. Jadi dengan adanya setem
hari pertama ini, ia sedikit sebanyak membantu kita mempromosikan
keunikan negara.
"Apa pun, penggunaan setem masih lagi utuh namun kita tidak menolak
kemungkinan, ia bakal kurang digunakan pada masa hadapan," katanya.
Setem keluaran hari pertama Buah-Buahan Nadir Siri ke-IV pertama kali
dikeluarkan pada tahun 1998 dan dijual dengan satu set lengkap bersama
folder dengan harga RM60.60.
Setem-setem ini boleh diperoleh di semua pejabat Pos Malaysia bermula
Isnin depan manakala set lengkap folder hanya boleh diperoleh di
pejabat pos utama seluruh negara.
No comments:
Post a Comment