Kerajaan Pas Kelantan didakwa sedang dalam proses meluluskan sebidang
tanah berkeluasan 1,400 hektar bernilai RM7 juta di kawasan Hutan
Simpan Ulu Sat kepada seorang individu tanpa tender pada Ogos lalu
meskipun Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan pada Jun 2009 membuat
keputusan supaya permohonan membeli tanah di situ ditolak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kawasan Salor, Datuk Husam Musa berkata,
beliau sangsi dengan surat yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar
bertarikh 6 Ogos lalu mengenai penjualan itu kerana tidak melalui proses
tender malah dijual terus kepada seorang individu.
Menurut beliau, Hutan Simpan Ulu Sat sebelum ini telah diiktiraf
sebagai 'paru-paru' Kelantan kerana bukan sahaja kaya dengan flora dan
fauna tetapi turut membekalkan udara segar kepada seluruh rakyat
Kelantan.
"Saya sangsi sama ada surat dari Pejabat Menteri Besar bertarikh 6
Ogos 2013 ditulis selepas pegawai-pegawai Menteri Besar, Datuk Ahmad
Yakob menyemak terlebih dahulu status Hutan Simpan Ulu Sat ini atau
tidak.
"Lebih-lebih lagi hanya sebuah syarikat dicadang diberikan kawasan
seluas 1,400 hektar sekali gus tanpa tender, ia amat meragukan sekali.
Seingat saya, semasa pentadbiran dahulu, tidak ada kawasan seluas itu
diberikan kepada mana-mana individu.
"Harga yang ditawarkan oleh syarikat iaitu RM2,000 seekar (0.4
hektar) pada saya amat tidak munasabah, lagipun kalau esok saya tubuhkan
satu syarikat dan menulis surat hanya dua muka surat sama seperti yang
ditulis syarikat itu dan menawarkan harga lebih tinggi misalnya RM2,100
seekar adakah permohonan saya akan diterima atau tidak," katanya ketika
membahas Bajet 2014 pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perbahasannya, Husam yang juga bekas Exco kanan
Kelantan turut mempersoal sikap amanah pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd.
(AKSB) kerana banyak projek membabitkan perbelanjaan puluhan juta
ringgit didakwa gagal mencapai sasaran.
Katanya, perkara yang berlaku dalam AKSB perlu diselesaikan segera
untuk mengelak Kerajaan Pas Kelantan terus diseret ke dalam situasi yang
lebih parah selepas ini.
"Dalam kesempatan ini, saya hanya tunjukkan satu dua contoh sahaja
daripada aspek kegagalan yang dengan sendirinya menunjukkan ada sesuatu
yang tidak kena di mana-mana antaranya menaik taraf loji rawatan air di
Jeli.
"Ini bertujuan mencapai 10 juta liter padu air sehari dengan kos RM21
juta, kini ia hanya mencapai 6.6 juta liter sehari dan menaik taraf
loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta dengan
sasaran 42 juta liter sehari tetapi pencapaiannya cuma 36.6 juta liter.
"Di Pintu Geng, Kota Bharu, AKSB membelanjakan RM52 juta untuk
mencapai sasaran 30 juta liter sehari namun hanya mencapai jumlah 12.5
juta liter sehari," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa AKSB gagal dalam menaik taraf
sistem perpaipan yang membabitkan kos sebanyak RM130 juta tahun ini
kerana faktor penyumbang kadar kehilangan bekalan air yang tidak
berhasil (NRW) masih berada pada taraf 52 peratus.
No comments:
Post a Comment