DAP Melaka kini berdepan kemelut perpecahan apabila Pengerusi
negeri, Goh Leong San bersedia mendedahkan perbuatan salah laku
beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang memenangi
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Tindakan itu diambil berikutan kata Leong San, beliau semakin hilang
sabar dengan pemimpin Pusat DAP kerana campur tangan dalam hal ehwal
parti itu di negeri ini.
Katanya, beliau akan mendedahkan beberapa dokumen penting berhubung
pemilihan calon dalam PRU-13 lalu jika pucuk pimpinan parti itu masih
gagal menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi sekarang.
"Saya tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mendedahkan sesuatu
jika ada pihak yang terus mendesak saya untuk melepaskan jawatan tanpa
alasan yang konkrit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Leong San yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong turut
menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan
penyelewengan berkaitan dengan dana parti itu.
"Saya bersedia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) jika pemimpin Pusat parti gagal menyelesaikan masalah
yang dihadapi," ujarnya.
DAP negeri itu didakwa berpecah kepada dua kumpulan apabila ada
beberapa ADUN tidak menghormati Pengerusi negeri dan Jawatankuasa
Perhubungan parti selain tiada usaha pucuk pimpinan untuk
memulihkannya.
Dalam pada itu, Leong San turut menjawab kritikan yang dilemparkan
rakannya yang juga ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong dan ADUN Kota
Laksamana, Lai Keun Ban.
Beliau dikritik hebat oleh kedua-dua ADUN tersebut ekoran
kenyataannya memuji pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dalam
sidang DUN kelmarin.
No comments:
Post a Comment