DALAM keghairahan Pas menyerang bertubi-tubi pemimpin-pemimpin
Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan
Negeri Sungai Limau, parti itu akhirnya terperangkap dengan
'kegelojohan' sendiri.
Ia berikutan terdedahnya taktik parti itu menerusi teknik photoshop bagi menampal wajahnya calonnya, Mohd. Azam Abd. Samat bertemu dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Gambar itu sebenarnya gambar kunjungan mesra dua pemberita kanan Sinar Harian ke atas Allahyarham pada 25 Mei 2011 dan akhbar itu sendiri menyifatkan ia taktik terdesak Pas untuk meraih sokongan.
Biar pun Pengarah Operasi Pas bagi PRK DUN Sungai Limau, Ir. Datuk
Amiruddin Hamzah mengatakan parti itu langsung tidak tahu bahawa gambar
tersebut bukan asli dan tidak ada niat untuk mengadakan sesuatu yang
tidak ada, namun ia belum memuaskan hati banyak pihak.
Ini memandangkan adalah tidak munasabah Pas yang dianggap 'cukup
hebat dan bijak' menghasilkan risalah-risalah boleh terlepas pandang
kepada satu produk yang cukup penting dalam pilihan raya.
Bayangkan apa yang akan berlaku jika 'kesilapan' itu dilakukan oleh
Barisan Nasional (BN), sudah pastilah Pas akan menyerang habis-habisan
parti lawannya itu dan akan membuat tuduhan yang bukan-bukan serta
mendesak BN meminta maaf kepada keluarga Allahyarham Azizan.
Oleh itu, kalau benarlah, Pas dalam tempoh seminggu berkempen ini
begitu menjaga perasaan ahli keluarga Allahyarham Azizan maka mereka
perlu meminta maaf secara terbuka.
Pas harus mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan tidak
mengamalkan sikap lepas tangan dengan berkata: "Kita semua manusia
biasa... yang bezanya ialah sama ada kita memang berniat untuk menipu
atau terjadi di luar pengetahuan kita".
Apakah alasan "kita semua manusia biasa…" ini akan terpakai kalau ia
terjadi kepada BN dan UMNO, sudah pasti tidak. Oleh itu tidak perlulah
Pas cuba menunjukkan seolah-olah mereka tidak tahu apa-apa dalam soal
ini.
Namun apa yang berlaku bukanlah perkara pelik kerana Pas sememangnya
sejak awal kempen memang mahu mengaitkan calon mereka dengan Allahyarham
Azizan, apabila menyatakan Mohd. Azam adalah anak didik Allahyarham
sedangkan dakwaan itu tidak benar.
Sekarang ini pun, oleh kerana mengetahui pengaruh Allahyarham Azizan
yang cukup hebat di Sungai Limau, Pas cuba menggunakan sentimen
Allahyarham Azizan dengan memasang kain rentang memaparkan wajah
Allahyarham. Tetapi semua orang tahu bagaimana layanan politik
sesetengah pemimpin Pas Kedah terhadap Allahyarham Azizan ketika
Allahyarham menjadi menteri besar.
Justeru tidak perlulah pemimpin-pemimpin Pas bersandiwara lagi dalam
soal ini dan janganlah berpura-pura kerana akhirnya kebenaran pasti akan
menewaskan kepalsuan, begitulah juga dalam kempen pilihan raya ini.
Percayalah!.
No comments:
Post a Comment