Pages

Wednesday, 6 November 2013

PENGANTIN TERKEJUT MAKAN KEK PERISA DAGING CICAK !!!



Sebuah keluarga yang baru sahaja selesai menganjurkan majlis perkahwinan anak kelima Sabtu lalu, terkejut apabila mendapati kek perkahwinan dua tingkat yang hanya tinggal separuh selepas habis dimakan mengandungi seekor cicak.
Siti Hajar Rohani, 30, berkata, acara memotong kek perkahwinan dua tingkat berperisa coklat itu hanya dimulakan sekitar jam 4 petang sebelum diedarkan kepada seluruh ahli keluarga.

Menurutnya, kek itu hanya tinggal separuh bahagian tingkat bawah sahaja sementara bahagian tingkat atas sudah habis dimakan selepas selesai majlis yang diadakan di Kampung Belantik, Sik itu.


“Saya kemudian mengambil potongan kek berkenaan untuk dimakan sambil menonton televisyen kira-kira jam 9 malam, sementara ahli keluarga lain kebanyakan sudah menjamahnya dan masing-masing mengakui kesedapan kek berkenaan yang hanya dibeli tidak jauh dari rumah kenduri.


“Selesai dua kali suapan ke dalam mulut, saya berasakan ada bendasing keras dalam kek berkenaan dan mengesyaki terdapat plastik di dalamnya,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya dekat Tikam Batu semalam.


Menurut Siti Hajar, selepas tergigit sesuatu yang ‘pelik’ dia bertanyakan kepada suami, Mohd Suffian Mohd Salleh, 37, yang berada bersebelahan.


“Saya keluarkan bendasing hitam itu dan menunjukkan kepada suami.


“Alangkah terkejutnya apabila masing-masing mengesahkan ia sebenarnya seekor cicak, di mana saya sudah tergigit bahagian lehernya,” katanya.


Siti Hajar berkata, sejak kejadian itu, dia menjadi fobia melihat kek dan menyebabkan tekaknya berasa loya.


Katanya, susulan penemuan bendasing berkenaan, adik bongsu yang berusia tujuh tahun mengalami muntah-muntah empat jam kemudian kerana didakwa paling banyak makan kek berkenaan.


Sementara itu, Mohd Suffian berkata, selepas mengetahui kek mengandungi cicak, ahli keluarga ada menghubungi pemilik kedai berusia 30an untuk memaklumkan perkara itu.


“Dia kata akan beri wang semula sebagai ganti rugi dan kami membuat keputusan membawa sisa kek bersama cicak ke kedainya bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.


“Setelah berjumpa keesokan hari, pemilik seolah-olah menafikan punca kejadian datang daripadanya, selain bertanya sekiranya kami cuai atau salah letak sehingga menyebabkan seekor cicak masuk ke dalamnya.
“Dia kemudian mahu memberi kek baru sebagai ganti kek yang lama namun kami tidak menerimanya selepas masing-masing tiada selera dan fobia untuk itu,” katanya.

Mohd Suffian berkata, pendedahan dibuat agar orang ramai lebih berhati-hati di samping memberi kesedaran kepada pengusaha supaya menitik beratkan aspek kebersihan setiap kali mahu menyediakan sebarang produk.


“Kami juga mengharapkan pemantauan daripada pihak berkaitan dari segi penguatkuasaan bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan memuaskan pelanggan dan standard yang ditetapkan kerajaan,” katanya.




No comments:

Post a Comment