Zambry (dua, kiri) meneliti model MH Pinnacle selepas menyempiunakan majlis pecah tanah, semalam. |
Sebanyak RM220 juta diperuntukkan bagi pembinaan projek berskala
besar, MH Pinnacle yang dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung
2018.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, MH Pinnacle
merupakan bangunan merangkumi pejabat, unit kediaman dan pusat
membeli-belah.
Menurutnya, pembangunan MH Pinnacle yang akan menjadi bangunan
tertinggi di Perak iaitu 49.5 meter, menjadi satu lagi projek mercu
tanda untuk bandar raya Ipoh yang sebelum ini hanya dikenali sebagai
pekan mati selepas waktu malam.
“Pembangunan berskala besar ini juga hasil daripada kerjasama pelbagai
pihak termasuk sektor kerajaan dan swasta,” katanya selepas
menyempurnakan Majlis Pecah Tanah MH Pinnacle di Jalan Medan Ipoh 3,
semalam.
MH Pinnacle merupakan projek pembangunan dimajukan Birchwood Sdn Bhd
dan dimiliki sepenuhnya MH Avenue (MHAV) iaitu syarikat usahasama antara
Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Man Hoe Holdings.
Zambry berkata, selain MH Pinnacle, lebih 20 projek berskala besar yang
lain juga dalam proses pembinaan di bawah pemantauan Majlis Bandaraya
Ipoh (MBI).
“Ketika ini, ada lebih 20 projek berskala besar yang sedang dibina di bandar raya ini dan akan ada lebih lagi kelak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim
berkata, MH Pinnacle merangkumi dua blok bangunan setinggi 29 tingkat
dan menempatkan 72 unit bilik hotel serta 27 unit kediaman.
Katanya, blok kedua MH Pinnacle pula akan menempatkan 146 unit kediaman
dengan menyasarkan golongan berpendapatan tinggi, sederhana tinggi dan
mereka yang mementingkan gaya hidup terkini.
“Pusat membeli-belah yang dikenali sebagai Pinnacle Mall juga akan
dibina dan bakal menempatkan 36 unit ruangan membeli belah (SOVO)
termasuk pusat makanan ikonik atau Perak Signature Food Outlet,”
katanya.
No comments:
Post a Comment