Seramai 30 peniaga kecil di Padang Kota bertekad berusaha menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 sekiranya kerajaan negeri pimpinan DAP enggan membenarkan mereka berniaga di kawasan itu. Tekad itu berikutan cara pemerintahan DAP yang didakwa menindas mereka selepas mendapat mandat pada pilihan raya umum lalu untuk mentadbir negeri ini.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya akan turut berkempen menjatuhkan kerajaan DAP jika mereka gagal menyelesaikan isu peniaga di kawasan itu dalam tempoh seminggu.
Tambahnya, kerajaan negeri harus mencari jalan membenarkan peniaga kecil berniaga di kawasan tersebut dan bukannya menjadi penghalang mereka menambah pendapatan.
"Kenapa baru sekarang kerajaan negeri mahu menghalang peniaga kecil berniaga sedangkan mereka sudah berniaga di sana lebih 10 tahun.
"Jika dulu sebelum PRU-12 mereka datang kepada peniaga minta undi dengan menggunakan alasan akan mengubah nasib peniaga kecil, tetapi apabila sudah berkuasa lain pula jadinya," katanya pada sidang akhbar di Padang Kota, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Ridzuan, semua peniaga telah menghantar borang memohon lesen perniagaan namun tiada yang diluluskan kerajaan negeri dengan dakwaan kawasan itu tidak dibenarkan berniaga.
"Cari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut dan jangan hanya sekadar beri alasan yang tidak masuk akal.
"Kita akan berhimpun di depan pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng minggu hadapan dengan semua peniaga untuk mendapatkan penyelesaian," katanya.
Sementara itu, peniaga urutan refleksologi, M. Gobalakrishnan, 57, mempersoalkan sikap berdiam diri kerajaan DAP dalam menangani isu peniaga di kawasan tersebut.
"Mengapa di Gurney mereka boleh berniaga sedangkan perkara yang sama juga kami buat di sini.
"Peniaga-peniaga di sini dihalau Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang berlagak seperti samseng sedangkan kawasan berkenaan merupakan tumpuan utama pelancong," ujarnya.
No comments:
Post a Comment