Pages

Tuesday, 11 September 2012

RAKYAT MALAYSIA SEMAKIN HILANG ADAB DAN SOPAN...

Kelakuan biadab yang ditunjukkan oleh para peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka baru-baru ini bukan isu terpencil. Pengkaji sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, mereka perlu kembali kepada perkara asas iaitu mengutamakan adab sopan, tatasusila dan mementingkan maruah negara.
Menurutnya, perbuatan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bukan perkara kecil.
"Kalau mereka tidak suka, janganlah berkelakuan seperti itu. Cara terbaik, mereka perlu bersikap profesional, jangan mengikut emosi dan tunjukkan ketika proses mengundi nanti siapa yang disukai untuk menjadi pemimpin,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pas yang menyifatkan kelakuan biadab para peserta Himpunan Janji Bersih sebagai isu terpencil yang tidak perlu diperbesar-besarkan.
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub mengatakan tidak timbul isu khianat kepada negara atau hasrat untuk menukar Jalur Gemilang.
Pada malam 30 Ogos lalu, peserta Himpunan Janji Bersih bukan sahaja memijak gambar Perdana Menteri dan isteri tetapi melondehkan seluar dan menonggeng punggung pada gambar itu.
"Pada zaman siber, isu sebegini begitu mudah tersebar, satu negara, malah seluruh dunia tahu. Kita tidak mahu perbuatan tersebut menjadi ikutan, jadi tindakan sewajarnya perlu diambil sebagai pengajaran supaya tidak berulang di kemudian hari," katanya.
Pendapat sama turut dikongsi seorang lagi pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang menyatakan, para peserta biadab itu tidak sesuai tinggal di dalam komuniti masyarakat moden.
"Kita di negara ini hidup di dalam masyarakat moden, mereka tidak faham perkara asas. Golongan ini bersikap kurang ajar dan ingat boleh buat sesuka hati?
"Mereka kononnya mahu menegakkan demokrasi tetapi dari segi amalan dan perbuatannya tidak bersifat sedemikian," ujarnya.

No comments:

Post a Comment