Langkah kerajaan mengharamkan jasad pemimpin komunis Chin Peng disemadikan di negara ini merupakan tindakan yang tepat dan harus diterima rakyat Malaysia, kata Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
"Saya harap kerajaan tegas dengan keputusan itu. Mubarak sepakat mengutuk cadangan sesetengah pihak yang ingin membawa jasad Chin Peng ke negara ini kerana Chin Peng bukanlah wira yang perlu diagung-agungkan," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, desakan seperti itu tidak perlu dilayan kerana dosa Chin Peng kepada rakyat Malaysia terlalu besar untuk dimaafkan.
Mengulas tindakan segelintir pihak yang dilihat mengagung-agungkan Chin Peng, beliau berkata ia lebih bermotifkan politik, untuk meraih sokongan.
Katanya tindakan sebegitu menggambarkan seolah-olah mereka buta sejarah dan tidak memahami fakta sebenar.
Abdul Rahman menarik perhatian bahawa Chin Peng tidak pulang ke tanah air semasa hayatnya kerana tidak mematuhi terma perjanjian damai setelah dokumen itu ditandatangani antara Malaysia, Parti Komunis Malaya (PKM) dan Thailand pada 1989.
Beliau percaya Chin Peng tidak mahu menghadapi risiko dikenakan tindakan undang-undang selain keperluan menjalani program pemulihan daripada ideologi komunis.
Tindakan Chin Peng yang memilih untuk hidup dalam buangan menunjukkan beliau tidak berani berhadapan dengan rakyat dan anggota keselamatan yang pernah dizalimi komunis, katanya.
"Ini menjadikan beliau tidak layak disanjung atau diangkat sebagai wira oleh masyarakat sekarang," tegas beliau.
Abdul Rahman lebih maklum mengenai perjanjian damai di Hatyai pada 2 Dis 1989 itu kerana ketika itu beliau antara editor yang ditugaskan mengeluarkan artikel bagi memujuk rakyat agar menerima tindakan kerajaan menandatangani perjanjian berkenaan.
"Saya masih ingat pada waktu itu, rakyat marah apabila kerajaan bersetuju melakukan rundingan damai dengan PKM, kerana ada rakyat yang masih tidak melupakan kekejaman yang dilakukan komunis, membunuh penduduk tidak berdosa," katanya.
Abdul Rahman turut berpendapat kerelaan Chin Peng untuk menyertai rundingan damai pada waktu itu adalah disebabkan keruntuhan beberapa empayar komunis lain seperti di Eropah Timur.
Faktor itu dilihat mendorong Chin Peng untuk menandatangani perjanjian damai tersebut kerana merasakan PKM sudah kehilangan taring, katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment