Kepemimpinan tertinggi Pas dicabar agar bertanya
kepada DAP berhubung hal ehwal dalaman parti cauvinis Cina itu termasuk
isu penyerahan 500 surat salinan asal yang ditandatangani para
perwakilan DAP.
Aktivis Pas, Mohd. Hadi Kamarudin berkata, tindakan itu penting
memandangkan DAP sering mencampuri hal ehwal dalaman Pas sehingga
mempertikaikan keputusan parti tersebut berhubung penggunaan kalimah
Allah.
Sehubungan itu menurut beliau, Pas kini perlu menyemak semula tahaluf
siyasi bersama sekutu mereka dalam pakatan pembangkang khususnya Parti
Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang disyorkan Ketua Dewan Ulama, Datuk
Harun Taib.
"Perkara ini perlu selepas Pas kehilangan Kedah dalam pilihan raya
umum baru-baru ini gara-gara kehilangan sokongan orang Melayu yang
menolak tindakan Pas mengabaikan mereka.
"Mereka sedar bahawa Pas yang dipimpin kumpulan tersebut telah lari
daripada pegangan parti dalam pelbagai isu terutama dalam pendirian
penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam," katanya.
Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, Kedah
pada Sabtu lalu mencapai beberapa resolusi termasuk mencadangkan supaya
tahaluf siyasi antara Pas bersama sekutu mereka dalam pakatan
pembangkang khususnya PKR disemak semula.
Semakan semula itu disaran dilakukan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan
Jawatan Kuasa Pas Pusat menerusi kuasa yang ada pada mereka.
Mengulas lanjut, Mohd. Hadi berkata, beliau percaya ramai ahli Pas di
akar umbi sepertinya sedar dengan kemudaratan kerjasama dalam pakatan
pembangkang tetapi terdapat kalangan kepemimpinan tertinggi parti yang
terus 'bersetuju' dengan pemimpin DAP dan PKR.
Beliau juga mempersoalkan penglibatan parti berlabel Islam tersebut
dalam pakatan pembangkang, adakah sebagai sebuah persahabatan, kerjasama
atau persekongkolan dengan DAP dan PKR.
"Kami ahli akar umbi tidak mahu bersekongkol dengan kaki-kaki penipu
dalam Pas ini kerana kami sedar bahawa persekongkolan ini membawa lebih
banyak kerugian daripada manfaat," katanya.
No comments:
Post a Comment