Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir menyeru
penyokong UMNO dan Pas mengelakkan pergeseran sesama mereka sepanjang
tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau
pada 4 November ini.
Beliau berkata, tindakan itu perlu agar usaha ke arah menjayakan
proses perpaduan antara ahli dan penyokong kedua-dua parti terbesar
orang Melayu itu terus berjalan.
"Apa yang penting ialah mengelak berlakunya pergeseran antara
penyokong UMNO dan Pas supaya akhirnya tidak kira siapa yang dipilih
menjadi wakil rakyat baharu di DUN Sungai Limau, proses perpaduan antara
kedua-dua parti tidak tercemar dan terus berjalan," katanya ketika
berucap dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun di Sekolah
Menengah Sains Kubang Pasu, dekat sini hari ini.
Katanya, masyarakat Melayu perlu hidup bersatu tanpa mengira ideologi
politik, latar belakang, tempat tinggal dan status ekonomi mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu berkata, langkah tersebut
merupakan perkara penting jika mahu melihat pembangunan yang ingin
dibawa ke negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat teramai di
Kedah iaitu orang Melayu.
Mukhriz menambah, boleh dikatakan majoriti orang Melayu menyimpan
dalam hati mereka satu keinginan untuk melihat UMNO dan Pas tidak lagi
bertelingkah.
Kata beliau, kedua-dua parti berkenaan mempunyai banyak persamaan
tetapi malangnya dalam kancah politik perbezaan yang sedikit
diperbesarkan.
No comments:
Post a Comment