Dewan Ulama Pas hari ini menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Puchong,
Gobind Singh Deo yang menuding jari kepada hudud sebagai punca
kekalahan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud di Parlimen Teluk Intan
sebagai satu penghinaan kepada perjuangan parti itu.
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad
menegaskan, dakwaan itu adalah tidak adil sama sekali serta tidak
menghormati dan menghargai sumbangan ahliahli Pas yang bertungkuslumus
membantu DAP pada pilihan raya kecil (PRK) tersebut.
"Memang mudah menuding jari kalau kalah namun DAP sudah menang di
Bukit Gelugor, kenapa tidak salahkan hudud? Oleh itu, kenyataan Gobind
ini adalah tidak adil, tidak hormati dan menghargai sumbangan ahliahli
Pas yang bertungkuslumus membantu di Teluk Intan.
"Tindakan ini menghina perjuangan Pas kerana hudud adalah salah satu
perjuangan kita. Dia (Gobind) boleh cakap setuju untuk tidak setuju,
tidak setuju tak mengapa tetapi jangan menentang (hudud).
"Ada juga tindakan mereka lakukan yang kita tidak setuju macam
pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kita tidak setuju tapi tak
bising pun. Jadi janganlah begini," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Gobind yang dilaporkan berkata, pendirian
Pas yang mahu melaksanakan hudud di Kelantan menyebabkan berlaku protes
secara senyap terhadap pembangkang sehingga membawa kepada kekalahan
Dyana Sofya.
Menurut Gobind, kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak menyokong
hudud kerana mereka berpandangan Malaysia merupakan sebuah negara
sekular.
Mengulas lanjut, Mahfodz yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor
memberitahu, kekalahan DAP tersebut boleh disebabkan oleh pelbagai
faktor lain termasuk imej Dyana Sofya yang muda dan bukan orang tempatan
berbanding lawannya, Datuk Mah Siew Keong yang berpengalaman, seorang
anak tempatan dan dijanjikan jawatan menteri.
"Selain itu faktor protes senyap, penyusutan pengundi dari 80 peratus
kepada lebih 60 peratus dan sebagainya. Namun, saya tidak boleh
menerima alasan bahawa kekalahan di Teluk Intan disebabkan hudud,"
katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata,
Gobind tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia
kelihatan angkuh dan tidak menerima hakikat selain tindakan tersebut
turut melukakan perasaan pimpinan dan ahli Pas yang bekerja keras
membantu jentera pembangkang yang diwakili oleh DAP di Teluk Intan.
"Pas berusaha membuktikan semangat setia kawan lalu menghantar
pimpinan dan petugas parti membantu dengan segala pengorbanan tenaga,
masa dan wang ringgit termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
sendiri turut turun membantu.
"Kami dari Pahang juga memperuntukkan sejumlah wang yang agak besar
bagi menghantar tenaga secara syif bertugas di Teluk Intan. Saya yakin
negeri lain juga memberikan komitmen yang tinggi untuk memenangkan
pembangkang yang diwakili DAP di Teluk Intan," jelasnya.
(SUMBER)
Tidak terlalu awal jika disimpulkan antara PAS dan DAP biar pun dapat tidur sebantal tapi mimpinya lain-lain.Dan tuturkata antara pemimpin mereka sudah tak semanis dan sehaluan selain dari mencari keburukan dan kehinaan yang ada pada UMNO. Inilah permuafakatan yang ditunjungi dengan satu maksud menjatuhkan UMNO tapi gagal untuk membina permuafakatan apa lagi jika diberi kesempatan sebagai peneraju atau pemerintah sudah pasti banyak lagi percanggahan dasar yang akan timbul. Walahualam
ReplyDelete