SABAK BERNAM 18 Jun – Calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd. Zohdi menyifatkan kemenangan besar beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.093 Sungai Besar sebagai sesuatu di luar jangkaan.
Beliau berkata, majoriti sebanyak 9,191 undi merupakan satu keputusan yang tidak disangka apatah lagi beliau bermula sebagai calon ‘underdog’ dalam PRK itu yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Pas dan PAN.
“Bagaimanapun, berkat sokongan rakyat dan kekuatan yang ditunjukkan oleh jentera BN, saya berjaya memenangi PRK ini.
“Saya lebih suka mengambil pendekatan berorientasikan rakyat, kerana di situ kita tahu akan kehendak dan keperluan mereka.
“Politik bagi saya apa yang menentukannya adalah kerja keras,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PRK itu di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.
PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan Budiman menewaskan calon Pas dan PAN dengan majoriti 9,191 undi.
Budiman memperoleh 16,800 undi mengatasi Azhar Ab. Shukur daripada PAN yang memperoleh 7,609 undi, diikuti calon Pas, Dr. Abdul Rani Osman yang meraih 6,902 undi.
Keputusan tersebut diumumkan pada pukul 10 malam oleh Pengawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd. Khairuddin Md. Som.
Dalam pada itu, Budiman ketika ditanya perancangannya selepas ini berkata, beliau akan meneruskan tanggungjawabnya kepada rakyat di Parlimen Sungai Besar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.
“Saya juga akan mengadakan tahlil serta doa selamat untuk bekas ahli Parlimen kawasan ini, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon di surau di kawasan Parlimen ini bermula Khamis ini,” ujarnya.