Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming diminta
memperjelas mengenai status akaun Facebook miliknya baru-baru ini yang
dilihat seolah-olah menyokong kempen boikot barangan keluaran syarikat
bumiputera.
Sambil menyifatkan perbuatan itu keterlaluan, Pengerusi Persatuan
Muka Buku Pulau Pinang (PMBPP), Salleh Ismail berkata, Kor Ming perlu
memperjelas niat sebenar beliau berbuat demikian.
"Kita mahu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng siasat perkara ini dan
sekiranya terbukti benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap Kor
Ming.
"Mengapa harus boikot produk bumiputera? Adakah kerana tidak
berkualiti atau Kor Ming tidak boleh melihat orang Melayu dan bumiputera
maju setanding orang Cina?" katanya kepada pemberita selepas Kempen Jom
Makan Roti Gardenia di Padang Kota Lama, di sini semalam.
Dalam program itu, PMBPP mengagihkan sebanyak 500 buku roti produk terbaharu keluaran Gardenia iaitu Cranberries Milk Raspberry sebagai tanda sokongan terhadap produk keluaran syarikat bumiputera.
Sebelum ini, pengguna laman sosial dikejutkan dengan kempen mengenai
kualiti roti yang dikeluarkan beberapa syarikat dengan roti keluaran
bumiputera didakwa kononnya tidak bermutu tinggi.
Mengulas mengenai kempen mengagihkan roti keluaran Gardenia, Salleh
berkata, usaha tersebut bertujuan menyokong produk bumiputera selain
sebagai maklum balas kepada kempen memboikot barangan bumiputera oleh
pihak tertentu.
"Kita sedar kempen ini pada mulanya digerakkan Red Bean Army melalui
laman Facebook. Namun, sekarang turut disokong Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) dan itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.