Tindakan Pas menyenarai pendek lapan nama calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, 4 November ini mencetuskan khabar angin bahawa mereka berdepan masalah untuk memutuskan calon yang sesuai membawa cabaran parti itu.
Ini berikutan terdapat desas-desus mengatakan wujud kem dalam kepemimpinan Pas Kedah pada masa ini iaitu kumpulan yang pro dengan bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak; kem bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi dan kem Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mahfuz Omar.
Kumpulan-kumpulan ini dikatakan mahu meletakkan calon pilihan masing-masing.
Parti itu juga dikatakan menyenaraikan sehingga lapan nama kerana perlu mencari individu yang boleh diterima oleh kumpulan-kumpulan berkenaan bagi mengelakkan protes terhadap calon yang dipilih nanti.
Mahfuz bagaimanapun menafikan perkara berkenaan dengan mendakwa Pas menyenaraikan lapan nama kerana semua calon-calon yang tersenarai itu adalah hebat-hebat belaka.
Katanya, ini bermakna dalam DUN Sungai Limau, Pas mempunyai lapan orang yang layak menjadi calon parti itu.
Kita hendak cari yang terbaik," katanya di sini hari ini.

