Timbalan Perdana Menteri mengingatkan rakyat
supaya tidak memperjudikan nasib mereka dengan memilih parti pembangkang
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti untuk mentadbir kerana kesannya amat
buruk dan negara akan hancur.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mandat yang diberi tidak boleh
dipersia-siakan dan rakyat terutamanya para pengundi harus sedar bahaya
tersebut kerana jika tersalah pilih, masa depan negara akan musnah.
"Soal masa depan negara tidak boleh diperjudikan, jangan nak
cuba-cuba pilih pembangkang kononnya untuk lebih baik sedikit, masa
depan kita sudah jelas terbukti berdasarkan apa yang telah kita
perjuangkan untuk mereka sejak merdeka lagi.
"Barisan Nasional (BN) sudah berpengalaman, pembangkang baru dua,
tiga tahun memerintah sudah cacamarba. Nak kata adil, tak berlaku adil,
kata lebih baik tapi tak juga," katanya ketika berucap dalam majlis
bersama jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Pagoh di
Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pilihan Raya Umum Parlimen Pagoh yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan
ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.
Muhyiddin berkata, pengundi tidak seharusnya mencuba nasib dengan
memilih pembangkang kerana memilih pemerintah tidak semudah bermain
nombor ekor yang sama sekali berbeza dan tidak boleh dicuba-cuba sama
sekali.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pada masa ini
pembangkang sentiasa mengatakan mereka lebih telus dan boleh melakukan
lebih baik daripada BN namun semua itu sekadar retorik dan kenyataan
kosong.
"Apa yang mereka buat lebih baik daripada kita, sudah 55 tahun kita
perjuangkan rakyat di negara ini. Kenapa pentingnya kita pertahankan
kuasa, kuasa ini bukan sekadar kuasa tetapi kuasa untuk kebaikan,
kebahagiaan, jamin kehidupan, pertahankan hak kita.
"Seperti juga dalam Perlembagaan Persekutuan, kita pertahankan syiar,
pertingkat, perkukuhkan Islam tetapi bukan mengancam agama lain. Itulah
kebijaksanaan BN pertahan hak semua orang dan dalam masa sama
menghormati Perlembagaan," katanya.
Muhyiddin berkata, menjelang pilihan raya umum akan datang,
'kilang-kilang fitnah' sudah mula bekerja 24 jam untuk menabur fitnah
terhadap kerajaan dan memutarbelitkan fakta sehingga boleh mengelirukan
rakyat.
"Macam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia kata negara
kita macam nak hancur, semua tak betul, bagi pada kroni, rasuah
berleluasa. Fakta diputarbelitkan dan kata Menteri Besar Selangor, Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim paling banyak difitnah oleh BN.
"Siapa nak fitnah dia? Kerana dia Menteri Besar Selangor? Bila dia
dilantik dia janji macam-macam, apabila dipersoalkan apa dibuat, dia tak
boleh jawab," ujarnya.
Menurutnya, pilihan raya umum akan datang amat penting kerana bakal
menentukan masa depan BN untuk kekal berkuasa sama ada di peringkat
Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri seterusnya meneruskan agenda
pembangunan negara.
No comments:
Post a Comment