Jumlah Pengunjung

Friday, 21 June 2013

NABI MUHAMMAD SAW DAN MELAYU !!!

REPLIKA kediaman Nabi Muhammad merupakan antara tarikan yang akan dipamerkan sepanjang Festival Warisan Rasul & Anbiya' berlangsung.

NABI Muhammad SAW merupakan seorang insan agung dalam kalangan jutaan manusia di muka bumi sejak beribu-ribu abad lalu dan kenyataan itu telah dibuktikan dengan baginda diangkat sebagai penghulu segala nabi dan rasul.
Malah ketika peristiwa Israk Mikraj, tidak seseorang manusia yang diangkat ke langit untuk menemui Allah SWT melainkan Rasulullah, hatta para malaikat sekalipun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Selain itu, nama baginda bukan tercatat dalam lipatan sejarah tetapi juga termaktub dalam kitab suci al-Quran dan perbuatan serta percakapannya dijadikan sumber rujukan kedua syariat agama Islam yang dikenali sebagai sunnah.

Sehubungan itu, bagi menanam semangat cinta kepada Rasulullah dan menghayati perjuangan para nabi terdahulu, Yayasan Restu akan menganjurkan Festival Warisan Rasul & Anbiya' bermula 21 Jun sehingga 7 Julai ini bertempat di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Alam.

Objektif penganjuran festival itu untuk menerangkan sejarah Nabi Muhammad SAW dan para nabi sebelumnya kepada umat Islam yang masih belum mengetahui liku-liku perjuangan mereka lalu menyebabkan mereka mengangkat tokoh-tokoh Barat sebagai idola.

Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa berkata, para rasul dan nabi merupakan golongan yang perintahkan oleh Allah untuk menyampaikan kebenaran kepada umat manusia namun masih ramai lagi di luar sana tidak mengetahui selok-belok asal usul para utusan tersebut.
Jelas Abdul Latif, Yayasan Restu yang berperanan dalam penulisan al-Quran dan atas landasan inisiatif tersebut pihaknya bertanggungjawab untuk menerangkan sejarah para rasul dan nabi kepada orang ramai seperti terkandung dalam kitab suci tersebut.

"Menerusi pameran itu, orang ramai boleh menghayati bagaimana para rasul dan nabi berjuang untuk menyebarkan dan mempertahankan Islam sehinggalah agama itu berjaya tersebar di serata dunia pada hari ini," ujar Abdul Latif ketika ditemui Mega Utusan Malaysia baru-baru ini.
Malah menurut Abdul Latif, tujuan lain penganjuran festival ini juga adalah untuk memperkenalkan projek terbaru Yayasan Restu iaitu penulisan mushaf al-Quran Palestin yang akan dilancarkan pada majlis perasmian festival berkenaan.

Abdul Latif berkata, projek terbaru itu merupakan hasil usahasama antara Yayasan Restu dan rakyat Palestin bagi mengorak langkah dalam memperkenalkan budaya seni negara timur tengah berkenaan kepada umum walaupun mereka berhadapan ancaman zionis sejak sekian lama.
Kata beliau, usaha itu dilakukan memandangkan masih ramai rakyat Malaysia malah dunia Islam sendiri tidak mengetahui keistimewaan yang terdapat di Palestin termasuklah seni budaya mereka.

Namun tambah beliau, fokus utama projek itu adalah untuk membantu rakyat Palestin dengan hasil dana daripada setiap jualan mushaf al-Quran Palestin akan disalurkan untuk membantu rakyat negara bergolak tersebut.
"Projek serampang dua mata itu merupakan tanggungjawab kami selaku umat Islam Malaysia untuk membantu saudara kita di Palestin dan ini merupakan peranan untuk memelihara ukhuwah Islamiah," ujar Abdul Latif.
Kebangkitan Melayu-Islam

Menyedari disanjung dan dipandang tinggi oleh dunia terhadap kehebatan bangsa Melayu di dunia, Festival Warisan Rasul & Anbiya' berkesempatan menganjurkan satu seminar bertajuk 'Melayu Warisan Anbiya' pada 3 dan 4 Julai ini.
Abdul Latif memberitahu, pembentangan kertas kerja berkisar terhadap peranan dan kehebatan bangsa itu sebagai entiti peneraju kebangkitan Islam di muka bumi ini.

"Kita mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan di Asia Barat termasuklah Palestin yang mengharapkan agar bangsa Melayu meneruskan kesinambungan pembebasan jajahan Barat dalam kalangan negara Islam.

"Melalui seminar itu, apakah kebenaran di sebalik tajuk itu akan dikupas secara ilmiah dan mendalam oleh ahli akademik tempatan," kata beliau.
Dalam pada itu, koleksi berkenaan artifak sejarah Alam Nusantara contohnya duit-duit syiling pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka turut dipamerkan sepanjang festival tersebut berlangsung.





No comments:

Post a Comment

Member BSK