Jumlah Pengunjung

Friday, 28 June 2013

BERITA MENARIK UNTUK BELIA !!!





Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menjenama semula semua modul latihan dan program belia di negeri ini selaras dengan perubahan perkembangan sains dan teknologi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Belia Selangor terdapat banyak modul latihan belia yang sudah lapuk dan perlu ditukar.

"Program belia dan modul latihan pembangunan sahsiah yang ada pada masa ini banyak yang sudah lapuk dan perlu dikemas kini secara berperingkat.

"Di Selangor terdapat kawasan bandar yang luas berbanding luar bandar dan oleh itu, pendekatan program dan modul belia perlu selaras dengan kehendak belia di bandar yang terdedah dengan perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bersama timbalannya, Datuk M. Saravanan ke Jabatan Belia Selangor (JBS) Selangor di Sementa di sini hari ini.

Khairy berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh kementerian, belia hari ini berminat dengan program baru bersifat intelektual dan program kerohanian berbentuk hiburan.

"Kementerian akan membuat pendekatan baharu dalam menyediakan program untuk belia seperti mengadakan aktiviti debat yang membicarakan isu-isu semasa agar kita dapat gambaran lebih jelas terhadap minat dan kehendak golongan tersebut.

"Hari ini anak-anak muda amat berminat dengan program ceramah agama oleh tokoh agama selebriti. Kita akan cari jalan bagaimana kementerian boleh bekerjasama dengan personaliti-personaliti terlibat," katanya.

Mengenai tabung keusahawanan belia, Khairy berkata, buat masa ini kementeriannya memperuntukkan tabung untuk usahawan belia di peringkat asas.
"Dengan pasaran perniagaan yang luas di negeri ini, para belia memerlukan dana yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan mereka," katanya.





No comments:

Post a Comment

Member BSK