Penegasan itu dinyatakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sambil memberi jaminan bahawa tidak akan ada mana-mana pemimpin dalam kalangan parti itu sanggup mencabar Abdul Hadi untuk jawatan Presiden pada pemilihan kelak.

Mustafa berkata, desas-desus kononya Abdul Hadi bakal digulingkan tidak mungkin menjadi kenyataan sebaliknya, beliau yakin Presiden Pas itu akan terus mendapat sokongan penuh bagi mengekalkan jawatan tersebut.
“Saya yakin tidak ada calon akan lawan presiden. Selepas tahun 2015 kita akan saksikan Abdul Hadi terus kekal menerajui Pas,” katanya kepada pemberita selepas majlis kutipan dana pasca banjir di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Datuk Hassan Mahmood.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa jawatan Abdul Hadi sebagai Presiden bakal dicabar dalam Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat yang akan diadakan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-61, Jun depan.
Kepemimpinan Abdul Hadi kini berada dalam keadaan goyah berikutan gerakan tersusun kumpulan-kumpulan tertentu di dalam Pas yang ingin menjatuhkannya termasuk dalam kala­ngan pemimpin parti itu yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu untuk bertanding jawatan Presiden.
Abdul Hadi bagaimanapun, masih mendapat sokongan padu kumpulan ulama dan perkara itu dinyatakan pada Multaqa Ulama SeMalaysia II baru-baru ini sehingga wujud desakan mahu Mohamad dan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli dipecat.
Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim mendedahkan terdapat komplot terancang yang dipercayai didalangi sekumpulan pemimpin kanan Pas dengan matlamat menjatuhkan Abdul Hadi dan kepemimpinan ulama.
Sementara itu ketika ditanya kemungkinan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh Mohamad akan dicabar sekali lagi pada pemilihan nanti, Mustafa berkata, jawatan tersebut dijangka bakal ada pertandingan.
“Saya yakin Abdul Hadi akan kekal sebagai presiden lagi, timbalan saya tidak tahu. Jawatan timbalan sentiasa berlawan, saya jangka memang ada pertandingan seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap dakwaan Mohamad dan Mohd. Hatta yang menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan presiden, Mustafa berkata, setakat ini, kedua-kedua pemimpin itu masih belum dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Kita belum lagi panggil kerana masing-masing sibuk. Kita akan panggil dalam masa terdekat. Yang buat tuduhan kita panggil, yang kena tuduh kita panggil,” katanya yang enggan mengulas lanjut.