Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas
untuk menyatupadukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan
perkara yang mustahil.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memajukan umat Islam.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, perpaduan umat
Islam juga menyumbang kepada kestabilan politik di negara ini.
"Kedengaran banyak seruan meminta pemimpin-pemimpin politik Islam
bekerjasama selain timbul pertanyaan mengapa UMNO dan Pas tidak boleh
berganding bahu demi kepentingan ummah.
"Di pihak UMNO sendiri, kita tidak mempunyai sebarang masalah
berhubung cadangan itu," katanya dalam sesi dialog bersama
pelajar-pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak
dekat sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Terdahulu, seorang pelajar UIAM bertanya tentang perpaduan orang
Melayu dan umat Islam serta mengapa langkah itu sukar direalisasi.
Menurut Muhyiddin, umat Islam berdepan pelbagai cabaran dalam usaha
membangunkan negara sejak mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu.
"Kita perlu memberi tumpuan terhadap pemerkasaan sektor pendidikan dan jika gagal dilakukan, masalah akan timbul," ujarnya.
Tambah beliau, umat Islam sewajarnya berusaha mencari titik persamaan sesama mereka dan menghargai pandangan yang berbeza.
MUHYIDDIN Yassin yang diiringi Dr. Rais Yatim disambut para pelajar
ketika melakukan lawatan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Gombak, Selangor, semalam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment