Ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi tidak rela
membiarkan parti itu menjadi 'pak sanggup' dalam segala isu dan
kecelaruan yang melanda sekutu-sekutunya di dalam pakatan pembangkang.
Ahli Pas Cawangan Kampung Binjai, Kepala Batas Pulau Pinang, Mahzan
Zahid, 34, berkata, imej Pas turut terjejas dengan kontroversi pemilihan
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Beliau yang menganggotai Pas sejak 12 tahun lalu memberitahu, Parti
Keadilan Rakyat (PKR) juga dilanda krisis perebutan kuasa terutama di
Selangor.
"Selain itu, kita mempunyai masalah dengan PKR dan DAP di semua
negeri khususnya dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
"Saya berasa amat malu kerana masalah-masalah yang berlaku itu
menunjukkan Pas tidak mempunyai persefahaman dan keserasian dengan DAP
serta PKR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mahzan mengulas saranan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dalam
ucaptama Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kedah pada 14 September lalu yang
mencadangkan jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi mengkaji
kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap Pas serta menilai kembali
tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang.
Tambah beliau, saranan tersebut menunjukkan Harun ingin melihat Pas dihormati kawan dan lawan.
Jelasnya, Harun amat mengambil berat dan meneliti cadangan-cadangan yang dibentangkan para ulama pada multaqa tersebut.
"Saya menyokong sepenuhnya saranan Harun agar parti mengkaji semula
tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR yang sememangnya perlu dilakukan
selepas Pas kehilangan sokongan pada PRU-13," ujarnya.
No comments:
Post a Comment