Pemimpin DAP seolah-olah meludah ke langit 
apabila menyarankan semua parti politik berasaskan kaum dan agama yang 
wujud di negara ini termasuk sekutu rapatnya Pas dibatalkan 
pendaftarannya.
Ketika semua pihak sedia maklum DAP merupakan sebuah parti yang 
cenderung memperjuangkan nasib kaum Cina, Pengerusi parti itu, Karpal 
Singh menegaskan, parti politik dan pertubuhan profesional di negara ini
 yang berteraskan kaum dan agama tidak sesuai diamalkan dan berbahaya.
Tegasnya, pendaftaran parti politik dan pertubuhan sedemikian harus 
dibatalkan atau diubah supaya sesuai untuk penyertaan rakyat negara ini 
tanpa mengira batasan kaum serta agama.
"Sepatutnya parti politik dan mana-mana pertubuhan profesional 
berasaskan kaum atau agama tidak boleh dibenarkan memandangkan perkara 
ini merupakan suatu yang serius.
"Sebagai sebuah negara berbilang kaum, kita mesti berpegang kepada 
konsep ini dan setiap parti politik serta pertubuhan profesional perlu 
menunjukkan pergerakan mereka menepati elemen tersebut," katanya dalam 
sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Karpal menyelar Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang 
dikatakan seolah-olah cuba mengugut Majlis Peguam berhubung isu kalimah 
Allah dan majalah The Herald.
Jelas beliau, Persatuan Peguam Muslim juga tidak sepatutnya 
dibenarkan memandangkan Majlis Peguam membuka penyertaannya kepada semua
 peguam tanpa mengira agama.
"Persatuan seperti itu hanya pencetus masalah (problem maker) dan ia tidak sepatutnya berasingan daripada Majlis Peguam," katanya.
Namun, apabila menyentuh mengenai sekolah berasaskan kaum dan 
pertubuhan-pertubuhan Cina, Karpal enggan mengulas lanjut dan menegaskan
 beliau hanya bercakap mengenai parti politik.

sebenarnya dap n pkr sdg berusaha utk menguasai parti org Melayu yg kedua terbesar selepas UMNO.
ReplyDelete