Polis akan mengumpul bukti dan keterangan saksi berhubung perhimpunan
haram yang mengganggu sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran
Merdeka di sini malam tadi.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Bukit
Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid berkata, sehubungan itu beliau
menyeru semua pihak yang terlibat untuk tampil ke hadapan membuat
laporan polis.
"Kita akan mengambil tindakan mengikut lunas perundangan dan sekarang
bukti dan keterangan sedang dikumpul untuk disiasat mengikut Akta
Perhimpunan Aman 2012," katanya.
Pada 11.30 malam tadi, perhimpunan haram itu, yang dihadiri 4,000
peserta, bertukar ganas dan merencatkan konsert Ambang Tahun Baharu
anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terpaksa dihentikan
setengah jam sebelum detik jam 12 malam.
Akibat tindakan agresif peserta perhimpunan itu, tiga anggota polis
tercedera dan polis turut menemui empat parang dan tiga pisau di dalam
sebuah longkang di Kompleks Dayabumi, yang terletak tidak jauh dari
kawasan perhimpunan haram itu.
Polis sebelum ini menamakan empat NGO sebagai terlibat dalam
penganjuran perhimpunan haram berkenaan iaitu Gerakan Turun Kos Sara
Hidup (TURUN), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment