Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Development
Loan Fund (MDLF), Harlan M. Mandel merupakan salah seorang daripada tiga
Pengarah MKini Dotcom yang mengendalikan operasi portal berita
propembangkang Malaysiakini.
Selain Mandel yang menjadi CEO kepada syarikat yang dikaitkan dengan
penyangak mata wang, George Soros itu, beberapa pemimpin pembangkang
turut menjadi sebahagian daripada pemegang saham dalam Mkini Dotcom
seperti merujuk kepada profil syarikat itu.
Mandel yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) dilantik
sebagai Pengarah MKini Dotcom pada Julai tahun lalu manakala MDLF pula
sudah menaja operasi Malaysiakini sejak lebih sedekad lalu.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga
Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa mengaku beliau merupakan salah seorang
pemegang saham dalam Mkini Dotcom.
Menurut Sivarasa, dia membayar sebanyak RM5,000 bagi 5,000 unit saham
ketika beliau dijemput untuk menyumbang kepada penubuhan portal berita
itu 13 tahun lalu.
"Ia adalah untuk tujuan yang berbaloi. Saya masih memiliki 5,000
saham daripada 4.5 juta saham yang diterbitkan," katanya dalam wawancara
dengan akhbar The Star.
Selain Sivarasa, seorang lagi pemegang saham Mkini Dotcom iaitu Bruno Gentil Pereira dan CEO Malaysiakini, C. Pramesh merupakan antara aktivis yang dikaitkan dengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Pemegang saham lain termasuk Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Arfa'eza Aziz.
Malaysiakini dan Suaram menjadi perhatian pelbagai pihak ekoran
dakwaan mereka antara beberapa organisasi yang menerima dana asing.
Dua penyumbang utama dana itu ialah National Endowment for Democracy
(NED) dan Open Society Institute (OSI) iaitu pertubuhan yang dikaitkan
dengan Soros yang menaja pelbagai pertubuhan di seluruh dunia yang
selari dengan objektif penubuhan mereka.
MDLF memiliki 1.316 juta unit saham dalam Mkini Dotcom manakala
Pramesh dan seorang lagi Pengarahnya, Steven Gan masing-masing memiliki
1.385 juta dan 1.328 juta saham.
Sebelum ini, Pramesh mendakwa, MDLF memiliki kira-kira 29 peratus
saham dalam syarikat tersebut manakala selebihnya dimiliki oleh pengasas
bersama dan kakitangan mereka.
Bagaimanapun di sebalik pendedahan demi pendedahan mengenai Malaysiakini,
Pramesh tetap bertegas portal berita itu bersifat bebas, namun beberapa
blog mempersoalkan kenyataan itu ketika beberapa pemimpin pembangkang
merupakan pemegang sahamnya.
Sementara itu, laporan kewangan syarikat itu seperti yang boleh
disemak daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tahun berakhir
31 Disember 2011, Mkini Dotcom mencatatkan penurunan hasil daripada
RM1.85 juta pada 2010 kepada RM1.63 juta tahun lalu.
Bagaimanapun, 'pendapatan lain' portal itu meningkat daripada RM3.26
juta pada 2010 kepada RM3.7 juta tahun lalu manakala operasi dan
perbelanjaan pentadbiran pula adalah sebanyak RM5.1 juta.
Dalam pada itu, menurut Mkini.blogspot.com pula, ia menerima
geran daripada Kedutaan Belanda di Malaysia; Agensi Pembangunan
Antarabangsa Kanada (ICFJ), Free Voice dan Friedrich Naumann Foundation
(FNS) selain MLDF dan Southeast Asian Press Alliance (Seapa).
No comments:
Post a Comment