Segelintir warga Malaysia yang mahu
bereksperimen menukar kerajaan diminta melupakan hasrat tersebut, sebaliknya mereka
perlu bersama-sama mempertahankannya demi masa depan negara lebih cemerlang.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu amat penting kerana
terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) komited memajukan negara ini, dalam
masa sama membela nasib hidup rakyat melalui pelbagai program transformasi.
Sehubungan itu, beliau berkata,
sekiranya program-program transformasi itu masih ada ruang untuk ditingkatkan,
rakyat diminta bersama-sama membantu kerajaan supaya matlamat pelaksanaannya
tercapai.
"Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak telah mencetuskan pelbagai program transformasi dan tujuannya
adalah untuk memajukan negara dan membela nasib hidup rakyat.
"Oleh itu, rakyat diminta
bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakannya. Dalam masa yang sama
hentikanlah sebarang hasrat untuk menukarkan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas
merasmikan sambutan ulang tahun Arkib Negara Malaysia yang ke-55 bertemakan '55
tahun Arkib Negara Malaysia: Era Digital' di Arkib Negara di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha
kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf; Ketua Pengarah Arkib, Daresah Ismail dan
Pengerusi Lembaga Penasihat Arkib, Nancy Syukri.
Beliau mengulas kenyataan bekas Naib
Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim semalam, bahawa cubaan segelintir
rakyat di negara ini bereksperimen menukar kerajaan merupakan tindakan
berbahaya dan akan memakan diri sendiri.
Tunku Abdul Aziz berkata, tindakan
itu yang dilakukan hanya kerana termakan janji manis dan fitnah pembangkang,
sekali gus mengakibatkan kerugian dalam jangka masa amat panjang
Sebelum ini, Rais pernah menegaskan,
adalah berbahaya jika rakyat melakukan eksperimen menukar kerajaan tanpa
membuat pertimbangan adil dan teliti.
Sementara itu, beliau berkata,
kementerian sedang meneliti mekanisme perundangan dalam usaha memastikan
rakaman koleksi-koleksi sejarah serta peristiwa penting diserahkan kepada pihak
Arkib apabila diminta.
Beliau berkata, koleksi tersebut
sama ada yang disimpan oleh agensi kerajaan mahupun swasta.
"Setakat ini, kita belum dapat
menentukan sama ada mekanisme perundangan ini memerlukan pindaan undang-undang
atau tidak. Saya sendiri memerlukan input-input serta taklimat daripada semua
pihak sebelum keputusan seterusnya diambil," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menghargai
keupayaan pihak Arkib yang berjaya melakukan proses digital terhadap 126,299
bahan sejarah untuk tujuan rujukan.
"Usaha ini memerlukan komitmen
yang begitu tinggi daripada semua pihak. Saya harap dalam kita menjadikan
bahan-bahan ini dalam bentuk digital, yang asal juga perlu dipelihara,"
katanya.


No comments:
Post a Comment