HUJUNG tahun seiring musim tengkujuh datang kembali! Ketika inilah
penduduk yang berada di kawasan tanah rendah mula gusar dan susah hati
takut kediaman ditenggelami air. Banyak hal perlu dilakukan sekiranya
terkena tempias bencana ini.
Itu kisah bagi mereka yang dalam keadaan siap sedia tapi bagi empat
negeri yang sudah dilanda banjir teruk seperti Johor, Kelantan,
Terengganu dan Pahang, mereka hanya mampu berserah dan menanti bantuan
pihak berkuasa. Dikhabarkan lebih 35,000 mangsa dipindahkan ke pusat
pemindahan kerana rumah mereka ditenggelami air. Kasihan.
Dengan kesibukan pihak berwajib datang membantu, ketika itu jugalah
ada kelompok manusia yang sibuk bersuka ria. Banjir bukannya datang
sebulan sekali, kesempatan kawasan rumah digenangi air membuatkan
kanak-kanak dan remaja wujudkan pesta air sendiri. Tanpa fikirkan
bahaya, apa yang penting keseronokan main air.
Menurut rekod Wikipedia, banjir besar yang berlaku di Semenanjung
Malaysia, Sabah dan Sumatera pada Disember 2006 dan Januari 2007
dianggap paling teruk dalam tempoh 100 tahun. Dalam tragedi itu,
dianggarkan lebih 100,000 orang terpaksa dipindahkan dan tinggal di
pusat pemindahan banjir seluruh negeri Johor.
Bencana alam ketiga terbesar ragut nyawa
Berdasarkan kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran Air Malaysia,
Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar, banjir dikategorikan bencana
alam yang diberi perhatian kerana mengancam kehidupan dan ekonomi
penduduk.
Menurut kajian Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), banjir adalah
bencana alam ketiga terbesar yang banyak mengorbankan nyawa dan
kerosakan harta benda. Jumlah kerosakan akibat banjir ditaksirkan
sebanyak RM100 juta menurut kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun
(JICA) pada 1981. Difahamkan, masalah banjir wujud kerana musim
tengkujuh iaitu hujan turun tanpa henti sekali gus turut mengakibatkan
banjir kilat.
Bertambahnya bilangan penduduk selain pembangunan lebih tertumpu di
kawasan lembangan dan lurah sungai menyebabkan kawasan itu mudah
ditenggelami air. Boleh dikatakan hampir saban tahun negara terpaksa
menghadapi masalah ini. Banjir kerap meningkat disebabkan perubahan guna
tanah di mana sistem saliran di kawasan rendah tidak mampu mengalirkan
aliran air hujan selain sistem saliran yang mendap akibat pembangunan.
Kematian pertama tahun ini
Keempat-empat negeri yang terjejas akibat banjir memperlihatkan
Pahang sebagai negeri paling teruk dilanda bencana itu. Meskipun bantuan
dan pasukan penyelamat bertungkus-lumus namun bencana itu meragut nyawa
pertama iaitu Mohamed Alif Khalid, 21, yang dijumpai lemas di Sungai
Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut.
Dalam kes berlainan, dua beranak, Jamal Ali, 40-an memegang jawatan
anggota Jawatankuasa Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya yang
dikenali sebagai Megat, berusia belasan tahun, hilang apabila terjatuh
ke dalam air semasa memindahkan barang di Perkampungan Sungai Isap,
Pahang.
Taman tema air percuma
Bagi kanak-kanak dan remaja khususnya, banjir adalah musim yang
dinanti-nantikan. Lagi dalam air menenggelamkan rumah, lagi banyak
aktiviti yang ada di dalam kepala untuk dilakukan bersama rakan.
Yang selalu kita lihat, banjir ibarat kolam renang semula jadi
percuma untuk kanak-kanak. Mereka leka mandi dan berenang di kawasan
rumah. Bola tampar air, gunakan besen sebagai sampan untuk meredah
lautan air antara aktiviti yang boleh kita nampak ketika musim banjir.
Kurang bahaya jika air hanya di paras lutut tetapi jika melebihi
pinggang dan lebih dalam, mungkin perkara tak diingini boleh berlaku
seperti lemas.
Bahayanya, ada kanak-kanak atau remaja yang lebih berani untuk pergi
memancing, tangkap ikan atau bermain rakit buatan sendiri di kawasan
sungai atau tali air tanpa pengetahuan ibu bapa. Jika berlaku pusaran
air ataupun aliran arus deras tiba-tiba, kanak-kanak antara golongan
yang paling mudah terdedah kepada bahaya. Bayangkan tanpa pertolongan
sesiapa, mana mungkin mereka boleh terselamat.
Meskipun bahaya banjir diterangkan di televisyen dan media massa
namun kesedarannya kurang diambil perhatian lebih-lebih lagi bagi
kanak-kanak yang sukakan cabaran. Makin dilarang, makin membuak
semangat. Di sini, peranan ibu bapa untuk mengawal anak perlu lebih
tegas untuk keselamatan keluarga.
Hiraukan penyakit
Mereka yang dewasa mungkin faham mengenai jangkitan penyakit ketika
banjir tetapi kanak-kanak cuma tahu berseronok tanpa memikirkan kesan
buruk perbuatan mereka.
Apabila air bah surut, ia boleh memberikan ancaman lebih besar
terhadap kesihatan dan keselamatan diri mangsa. Pada musim banjir,
penyakit berjangkit bawaan air seperti demam kepialu dan taun selalunya
mudah merebak jika langkah sewajarnya tidak diambil.
Gejala penyakit bawaan air selalunya hampir sama di antara satu sama
lain seperti loya, muntah, cirit-birit, perut meragam, sakit otot dan
demam. Bayi khususnya berisiko tinggi untuk dijangkiti. Dicadangkan,
sekiranya gejala itu serius dan berlarutan, mangsa perlu segera dibawa
berjumpa doktor. Ini kerana, air bah akan menyebabkan bahan beracun naik
ke permukaan dan memberikan kesan negatif kepada manusia.
Antara penyakit lain yang mungkin berisiko menanti mangsa termasuk
cirit birit, Hepatitis A, penyakit parasitic dan leptospirosis.
Leptospirosis ialah sejenis penyakit yang disebarkan oleh air kencing
tikus. Kuman leptospira boleh menyebabkan demam, sakit sendi, muntah dan
jika berlarutan boleh menyebabkan kegagalan fungsi ginjal dan hati.
Manakala kesan tinggalan kulat selepas hujan juga boleh meningkatkan
risiko mendapat penyakit berkaitan paru-paru dan pernafasan hingga
boleh memburukkan lagi keadaan pesakit sedia ada.
Bencana alam adalah ujian diturunkan Allah SWT. Bantu membantu
sesama masyarakat dapat ringankan beban sesama kita. Untuk kehidupan
masa depan lebih terjamin dan gembira, jaga tingkah laku dengan buang
sampah di tempat sepatutnya, jaga aliran sungai di kawasan anda dan
awasi ahli keluarga dan orang sekeliling. Hidup lebih bermakna tanpa
sebarang masalah disebabkan kecuaian sendiri. Fikirkanlah!