Jumlah Pengunjung

Sunday 4 September 2016

KERAJAAN KAJI CADANGAN KERJA 6 JAM SEHARI!!!



TELOK KEMANG 3 Sept. - Kerajaan akan mengkaji cadangan agar waktu be­kerja kakitangan awam dikurangkan sehingga enam jam sehari berbanding lapan jam pada masa ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu termasuk dari segi keperluan dan kewajaran tempoh bekerja yang lebih pendek dalam sektor kerajaan.

“Sebenarnya ada beberapa agensi kerajaan terutama di UTC (Pusat Transformasi Bandar) mempunyai syif kerja selama 14 jam dan mereka bahagikan kepada dua syif iaitu tujuh jam bagi setiap kakitangan.

“Memang ini (waktu bekerja yang pendek) telah diamalkan. Walau bagaimanapun, kita akan lihat terlebih dahulu apa perlunya bekerja enam jam. Semua ini akan dikaji oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perbarisan tamat latihan Program Transformasi Minda dan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Kishnam baru-baru ini meminta kerajaan mempertimbangkan agar mengurangkan waktu bekerja dalam sehari di negara ini kerana waktu kerja panjang akan memberi kesan buruk kepada produktiviti pekerja.

Beliau turut mengambil contoh Sweden yang mula mengamalkan sistem bekerja enam jam sehari setelah menunjukkan hasil memberangsangkan kepada pekerja di negara berkenaan.

Katanya, beberapa negara jiran di rantau ini juga sudah mula menurunkan bilangan jam be­kerja sehingga kepada 40 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu yang diperuntukkan dalam undang-­undang di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Ali berkata, kira-kira 4,000 penguat kuasa imigresen yang bertugas di lapangan dan depot tahanan akan menerima elaun khas sebanyak RM200 sebulan.

Katanya, kerajaan telah meluluskan bayaran tersebut yang melibatkan jawatan penguasa imigresen, penolong penguasa dan pegawai imigresen Gred 54 dan ke bawah.

“Saya minta KDN dan Jabatan Imigresen supaya menyegerakan pelaksanaan pembayaran insentif berkenaan kepada mereka yang layak. Ini merupakan keputusan kerajaan supaya pegawai imigresen diberi bayaran insentif seperti yang dinikmati agensi penguatkuasaan lain,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam juga bersetuju supaya jawatan pengarah imigresen negeri boleh disandang oleh pegawai imigresen yang berkelayakan dan bukan lagi terhad kepada pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dan KDN akan usulkan nama mereka yang layak untuk jawatan itu.

No comments:

Post a Comment

Member BSK