Jumlah Pengunjung

Showing posts with label sukarelawan. Show all posts
Showing posts with label sukarelawan. Show all posts

Sunday, 4 October 2015

GELOMBANG BANJIR.. MYVOC 4X4 DAERAH BERA SIAP SEDIA UNTUK BERI BANTUAN !!!



BERA- Banjir besar yang berlaku tahun lepas di Daerah ini telah menjadi satu pengajaran berguna buat penggiat 4×4 dalam kawasan Bera dimana pelbagai langkah dan persediaan telah disusun bagi menghadapi gelombang banjir yang tidak boleh dijangka tahun ini.

Sedar tentang bencana yang mungkin berulang, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan sokongan penggiat 4×4 Bera telah bersepakat menubuhkan skuad MyVOC 4×4 Bera bagi menghadapi bencana banjir dengan lebih tersusun dan teratur.

Melihat akan kegilaaan ramai anak muda menggunakan kenderaan Pacuan empat roda didalam Daerah ini, Majlis Belia Daerah tampil kehadapan dengan mengumpul kesemua pemilik kenderaan ini dalam Kursus Pemanduan Asas Kenderaan 4×4 di tapak perkhemahan Air Terjun Terapai.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh YB Norol Azali Sulaiman ADUN Guai merangkap EXCO Kerajaan Negeri Pahang di Kompleks Rakan Muda Bera semalam.


Turut dirasmikan ialah lebih 60 Sukarelawan Myvoc 4X4 Bera dimana kemahiran mereka dalam penggunaan kenderaan 4×4 ini amat ditagih dalam menjayakan misi-misi tertentu termasuklah penghantaran bekalan makanan serta misi menyelamat ketika musim banjir.

Turut hadir di majlis berkenaan Tuan Zaidi Abd Aziz, Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia.

 
“Kita kena belajar dari situasi banjir tahun lepas yang melanda daerah ini. Alhamdulillah program hari ini membuktikan kita sudah belajar dan akan lebih bersedia menghadapi banjir pada kali ini,”kata YB Norol Azali Sulaiman.

Selain kurus pemanduan asas, Sukarelawan Myvoc 4X4 Bera yang dipimpin saudara saudara Othman Man akan turut menjalani latihan pengunaan radio amatur dimana penggunaan alatan berkenaan amat penting ketika bencana khususnya Banjir.



Majlis turut diserikan dengan tayangan video keadaan banjir tahun lepas di daerah Bera dan penyampaian sijil penghargaan kepada sukarelawan yang terlibat dengan bantuan kemanusiaan banjir tahun lepas.









"COOL AND CATCHY" MBM TERUS PIKAT ANAK MUDA BERSAMA MYVOC !!!



Hari ini saya berpeluang meluangkan masa bersama seramai 1,119 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane, Kuala Lumpur sambil merasmikan Hari Anugerah Kualiti dan Kecemerlangan 2015. Turut hadir bersama ialah Saudara Hasnul Hanif Harun, Exco MBM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MBM.

Kesempatan yang terluang, beberapa perkara dapat saya kongsikan dengan para pelajar. Antaranya ialah kepentingan generasi muda di kalangan pelajar sekolah aktif dalam kegiatan kokurikulum samada melalui kegiatan berpersatuan, badan beruniform mahupun sukan.

 

Majlis Belia Malaysia (MBM) sentiasa membuka ruang dan peluang kepada golongan belia yang berumur 15-18 yang rata-ratanya di bangku sekolah menengah untuk menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan ini mempunyai banyak faedahnya.

Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat memenuhkan masa lapang. Pelajar yang aktif dalam kegiatan ini akan terhindar daripada terlibat dengan gejala sosial kerana banyak masa mereka digunakan untuk aktiviti kokulrikulum di sekolah seperti sukan dan sebagainya. Oleh itu, masa lapang dapat diisi dengan kegiatan yang lebih berfaedah.

 

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan seperti jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Sebagai contoh, apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Dengan itu, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Sebagai contoh, kegiatan-kegiatan ini dijalankan mengikut peraturan dan jadual yang telah ditetapkan. Kita perlu mematuhi peraturan dan jadual tersebut supaya segala aktiviti yang direncana dapat dijalankan dengan lancar. Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

 

Tambahan pula, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab tentunya disertai oleh ramai ahli serta terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul dan bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka dan seterusnya akan mewujudkan perpaduan antara kaum.

Akhir sekali, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum seperti menyertai pertandingan bola sepak dan sebagainya. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Dengan latihan itu, badan kita akan mengeluarkan peluh. Ini tentu akan menjadikan kita cergas, sihat, kuat dan tidak akan mudah dijangkiti penyakit.

 

Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyatakan bahawa MBM bersedia menawarkan penyertaan kepada para pelajar SMK Cochrane menjadi ahli Malaysian Youth Community Volunteer (MyVOC) yang diyakini mampu melahirkan golongan pelajar yang mempunyai sahsiah dan akhlak terpuji. Pendekatan “cool and catchy” yang diamalkan oleh MBM dalam mendekati anak muda akan dilakukan tanpa meninggalkan nilai-nilai murni yang wajib ada dalam setiap gerakannya.- Rizan Hassan.


MyVOC MALUKAN ISRAEL DEMI AL-AQSA !!!



Kuala Lumpur- ” Hari ini Majlis Belia Malaysia tampil untuk menyokong perjuangan 40 NGO dari seluruh Malaysia untuk mengutuk kekejaman Zionis dan Israel atas penindasan mereka terhadap Masjid Al-Aqsa,” ujar saudara Rizan Hassan, Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Kita melihat perhimpunan ini bukanlah bersifat politik tetapi lebih bersifat kemanusiaan. MBM atas dasar kemanusiaan telah menggerakkan ahli-ahli kita pada hari ini bukan saja untuk bersama-sama NGO yang berteraskan agama Islam tetapi NGO yang berasaskan kaum India dan Cina bagi menyuarakan ketegasan bantahan kita kepada Amerika,” kata beliau lagi.



Sebagai Salah seorang daripada saf kepimpinan MBM, beliau turut dipertanggungjawabkan bersama-sama membawa sukarelawan Belia MyVOC untuk mengagihkan makanan dan minuman untuk peserta-peserta himpunan tadi.

Mereka ialah Sukarelawan Malaysian Youth Volunteer Community (MyVOC) yang hadir dengan cara tersendiri bagi menyatakan sokongan kepada himpunan aman itu. Mereka turut mengutip sampah-sarap dan membersihkan kawasan sekitar selepas orang ramai bersurai.



Sukarelawan Belia MyVOC juga membantu mengedarkan kira – kira 1000 botol air mineral dan 500 bungkus roti sosej yang diagihkan kepada peserta himpunan terdiri dari mahasiswa, ahli-ahli NGO dan orang ramai.

Sukarelawan yang bersama-sama pada hari ini adalah dari Majlis Belia Orang Asli tampil membantu kerja-kerja sukarelaan dari segi mengedar makanan dan minuman serta memastikan tempat himpunan bebas daripada sampah sarap yang boleh menyebabkan berlaku gangguan kepada anggota masyarakat dan mengelakkan imej buruk kepada Negara.



Merujuk kepada pelbagai parti politik dan NGO yang menyertai himpunan hari ini, saudara Rizan berpendapat semua bersatu dalam menyantuni isu Palestin dan lebih unik lagi, 40 NGO berteraskan anak muda di Malaysia tampil pada hari ini dengan sokongan yang jitu terhadap permasalahan Palestin.

Bagi MBM pula, apabila kita bercakap tentang kemanusiaan, ia mengatasi segala-galanya dari warna kulit, bangsa, agama dan fahaman politik,” sambung beliau lagi.

 

‘Perkara ini menunjukkan kematangan rakyat Malaysia dalam menyuarakan kemarahan mereka dalam isu-isu yang bersangkutan hak asasi sejagat,”tambah saudara Rizan lagi.

Beliau turut menambah, MyVOC adalah sebuah pasukan kesukarelaan yang berteraskan kemahiran, kemanusiaan dan kepakaran. Jadi kehadiran MyVOC pada hari ini sebenarnya adalah lebih untuk menunjukkan contoh nilai-nilai murni rakyat Malaysia apabila mereka berhimpun.



MyVOC menunjukkan contoh kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa himpunan yang diadakan pada hari ini adalah aman dan kemarahan rakyat terhadap sesuatu isu dapat dizahirkan secara baik,” tambah beliau lagi.




Friday, 2 October 2015

MyVOC KEJUTKAN MAAHAD TARBIAH ISLAMIAH DERANG KEDAH !!!



POKOK SENA – Maahad Tarbiah Islamiah Derang menarik nafas lega apabila terpilih untuk progam menambah baik sistem pendawaian elektrik di premis-premis pusat pengajian Islam itu yang dikhuatiri kurang selamat untuk dihuni sebelum ini.



Penolong Pendaftar Maahad, Ustaz Zul Azri Mohd Sani menzahirkan rasa syukur dengan khidmat sukarelawan yang terdiri dari anak-anak muda yang dibawa khas dari Pusat Giat Mara Pokok Sena yang melakukan sistem pendawaian semula telah dilakukan di dua blok asrama perempuan di maahad berkenaan.

“Alhamdulillah, syukurlah pada Allah SWT dengan khidmat sukarela yang diberikan. Kami amat berterima kasih atas bantuan yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Giat Mara dan semua pihak yang terlibat,” katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

 

Katanya, bantuan sukarela yang dianjurkan MBM telah membuka mata kepada pihaknya tentang betapa pentingnya pendawaian elektrik yang membabitkan keselamatan dan ancaman yang terpaksa dihadapi sekiranya diabaikan.

Ustaz Zul Azri menjelaskan bahawa dua blok asrama pelajar perempuan yang terbabit dengan pendawaian semula itu adalah merupakan premis lama maahad yang sememangnya perlu penambahbaikan.



 Mengulas mengenai sistem pendawaian di blok asrama tersebut, Zulkifli Ahmad yang merupakan tenaga pengajar yang memantau program pendawaian semula itu mengatakan bahawa sistem lama itu tidak selamat untuk digunakan dan perlu dilakukan semula dengan sistem pendawaian yang lebih sistematik.

“Selepas kami periksa, memang agak kurang selamat. Jadi kami buatkan yang baru dan lebih selamat untuk maahad ini,” katanya lagi.



 Zulkifli menjelaskan bahawa pihaknya membawa 18 orang sukarelawan yang terdiri dari para pelajar dari Pusat Giat Mara Pokok Sena untuk melakukan pendawaian semula di maahad berkenaan dan beliau sendiri memantau aktiviti pemasangan tersebut.

“Bukan saja beri pengalaman yang praktikal pada pelajar, malah dengan program ini dapat memberi kesedaran kepada mereka tentang rasa tanggungjawab melakukan kerja-kerja amal kepada masyarakat umum,” jelas beliau.

 

Menurut Presiden MBM Negeri Kedah, Mohd Aizad Roslan, pihaknya akan meneruskan program-program sukarelawan sedemikian di pondok-pondok dan sekolah agama rakyat yang dikenal pasti memerlukan pendawaian semula.

“InshaAllah kami akan usahakan untuk meneruskan program macam ni di pondok-pondok atau sekolah agama rakyat yang memerlukan pendawaian semula di Kedah,” katanya yang turut berterima kasih kepada KBS atas kerjasama baik yang dihulurkan.

 

MBM dan KBS menganjurkan Konvoi Sukarelawan Merdeka MYVOC Sehati Sejiwa dengan kerjasama MBM Negeri Kedah melakukan program pendawaian semula di Maahad Tarbiah Islamiah Derang di Pokok Sena sejak 28 September lalu dan dijangka berakhir 2 Oktober. -Kedahnews.com



Monday, 28 September 2015

MYVOC TERUS EDAR TOPENG MUKA DI SEKOLAH !!!



Puchong, 18 September 2015 – Komuniti Sukarelawan Belia MyVOC, Majlis Belia Malaysia telah mengedarkan sebanyak 1000 keping topeng muka kepada guru-guru dan murid-murid di Sekolah Rendah Agama Bandar Kinrara 5, Puchong pada pagi tadi.




Sebelum mengedarkan topeng muka, sedikit penerangan mengenai jerebu dan cara pemakaian topeng muka diterangkan oleh Encik Zaidi Aziz, Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia. Turut hadir untuk mengedarkan topeng muka tersebut ialah Encik Ahmad Saparudin Yusop, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia.-belia.org.my








MYVOC SEDIAKAN PASUKAN PAKAR KOMUNIKASI RADIO AMATUR BANTU MASYARAKAT KETIKA BENCANA !!!



Ipoh, 6 September 2015 – Menyedari betapa pentingnya komunikasi ketika bencana alam, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil langkah proaktif melahirkan sukarelawan mahir dalam mengendalikan radio amatur atau ham operator. Pasukan ini diyakini mampu dan berupaya menghulurkan bantuan sekiranya berlaku sesuatu kecemasan atau bencana alam

Kewujudan pasukan ini adalah sebahagian dari kepakaran Malaysian Youth Volunteer Community (MYVOC) yang di wujudkan oleh MBM dengan kerjasama KBS.

 

Ketua Penerangan MBM, Saudara Mohammad Rizan Hassan berkata, pasukan radio amatur ini merupakan perkhidmatan radiokomunikasi bagi tujuan latihan diri, perhubungan dan laporan yang dijalankan oleh sukarelawan terlatih tanpa ada kepentingan kewangan.

Menurut Rizan Hassan, pengendali radio amatur pada dasarnya menjadikan alat komunikasi itu sebagai hobi bagi berhubung dengan rakan-rakan yang lain di seluruh negara, namun mereka turut memainkan peranan penting membantu pihak berkuasa ketika kecemasan dan bencana.

 

“Sebagai contoh, ketika banjir besar melanda Kelantan yang lalu, kumpulan radio amatur menghulurkan bantuan dari segi komunikasi berikutan sistem talian selular mengalami gangguan,” katanya lagi.

Tambah beliau, ”MBM kini memfokuskan latihan kepada sukarelawan yang berdasarkan bidang dan kepakaran masing-masing. Ini bermakna, MBM menerusi MYVOC akan mempunyai sukarelawan yang terlatih yang akan bergerak di bawah pengawasan miimum ketika kerja lapangan nanti”.

 

Pasukan ini juga mendapat perhatian dan pujian YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak ketika merasmikan SilverYouth Fest 2015 di Ipoh tempohari. Beliau yang melawat gerai pameran MYVOC turut memuji usaha KBS-MBM ini yang dilihat sentiasa terkehadapan dalam misi-misi bantuan kemanusiaan. Turut sama dalam lawatan itu ialah YAB Datuk Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dan Saudara Hasnul Fairuz, Presiden Majlis Belia Negeri Perak.

 

Penyertaan MYVOC di dalam SilverYouth Fest 2015 adalah dalam rangka Konvoi Sukarelawan Merdeka MyVOC sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015. Selain dari pameran radio amatur, MYVOC turut menampilkan pasukan perubatan yang mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada para pengunjung. Pemeriksaan kesihatan meliputi pemeriksaan tekanan darah, kandugan gula dalam darah dan khidmat nasihat kesihatan dan amalan gaya hidup sihat.- belia.org




Member BSK