Jumlah Pengunjung

Wednesday 23 September 2015

MYVOC SERBU 400 PESAKIT WANITA DAN KANAK-KANAK !!!



“ Walaupun memerlukan perbelanjaan tinggi dan jarak perjalanan lebih 400 kilometer terpaksa ditempuh setiap bulan, ia bukan penghalang buat saya dan suami untuk mendapatkan rawatan buat anak sulung yang menghidap leukemia, ” kata Salinah Mat Yusof, 48, ketika ditemui di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Anaknya, Mohamad Nazmi Mohd Yusoff, 14, disahkan menghidap leukemia sejak setahun lalu selepas mengalami demam berlarutan selama dua bulan.
Asfalinda meluangkan masa bersama Mohamad Nazmi Mohd Yusoff.
 

Katanya, dia yang menetap di Kampung Sarang Tiong, Rompin, Pahang terpaksa berulang-alik ke HSNZ setiap bulan bagi mendapatkan rawatan untuk mohamad Nazmi sejak setahun lalu.

“ Kami terpaksa berulang-alik dari Rompin ke Kuala Terengganu kerana kemudahan rawatan bagi kanak-kanak menghidap leukemia yang paling hampir hanya ada di HSNZ.

“ Dilema saya dan suami, Mohd Yusoff Mohd Daud yang berumur 42 tahun adalah kos bagi perbelanjaan berulang-alik dari rumah ke HSNZ berikutan jarak yang jauh dan memerlukan peruntukan kewangan yang mencukupi memandangkan suami hanya bekerja sendiri.

“ Namun, bagi memastikan Mohamad Nazmi sihat seperti kanak-kanak lain, saya dan suami berkorban tenaga, masa serta wang untuk ke Terengganu setiap bulan,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih, Konvoi Sukarelawan Merdeka MyVOC, Majlis Belia Malaysia (MBM) di HSNZ, di sini, semalam.

Menurutnya, tahun lalu, Mohamad Nazmi terlantar di wad HSNZ selama tujuh bulan dan tiap-tiap bulan, anaknya akan mendapatkan rawatan susulan di HSNZ termasuk menjalani rawatan kimoterapi.

Katanya, tiada yang lebih berharga apabila melihat Mohamad Nazmi dalam keadaan sihat walaupun tidak seperti dulu dan sudah setahun anaknya tercicir sesi pembelajaran di sekolah berikutan penyakit yang dihidapi itu.
Salinah berkata, dia teringin melihat anaknya kembali ke sekolah seperti biasa, namun dia yakin hajatnya itu akan tertunai berikutan rawatan yang baik diperoleh di HSNZ.

Sementara itu,Naib Presiden MBM Asfalinda Anuar berkata, program disertai 30 sukarelawan wanita yang mengunjungi wad wanita dan warga emas di HSNZ selain menyampaikan sumbangan berupa keperluan harian juga alat tulis.

“ Program ini bertujuan menghargai golongan wanita sama ada yang sakit mahupun yang berkorban tenaga menjaga ahli keluarga mereka. Dalam program berkenaan, kami mengagihkan 250 sumbangan kepada wanita dan 150 kepada kanak-kanak, “ katanya.





No comments:

Post a Comment

Member BSK