Jumlah Pengunjung

Monday 25 January 2016

MASJID PALOH TUMPUAN KELUARGA MISKIN !!!

Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah (kiri) berkenan menyampaikan bantuan makanan sempena majlis perasmian Soup Kitchen Masjid Paloh, dekat Ipoh.
Assalammualaikum semua..

Rasanya dah terlalu lama aku tidak menulis dalam blog ini, entah tiba-tiba terdetik hati aku untuk menulis pada malam ini, mungkin kerana sebuah artikel yang amat menyentuh hati aku. Tak sangka pula aku dalam keadaan negara kita yang semakin maju membangun, ada keluarga yang pada aku amat memerlukan bantuan makanan setiap hari. Masjid kampung Paloh ini bagi aku adalah sebuah masjid lama yang mempunyai sejarahnya tersendiri dan pernah juga beberapa kali aku singgah disini solat zohor ketika aku tersangkut dalam hujan lebat sebelum ini. 

Pujian aku berikan pada pengurusan masjid ini kerana apa yang aku baca, masjid ini selalu membuat program bantuan makanan percuma pada golongan miskin untuk penduduk miskin sekitar ipoh pada setiap hari rabu dan jumaat. Ternyata pemberian makanan percuma ini telah dimanafaatkan sebaiknya oleh golongan keluarga yang berpendapatan rendah. 

Terfikir juga aku, hari-hari yang selainnya bagaimana keluarga ini dapat menyediakan makanan untuk anak dan keluarga mereka. Mungkin anak mereka juga mempunyai perasaan sebagaimana anak-anak keluarga lain yang dapat merasai makanan seperti KFC, Mcdonald, Pizza Hut dan makanan-makanan enak yang lain. 

Bangkrupkah kita jika kita bersatu bersama memberikan makanan percuma setiap hari pada mereka ? Mungkin kita tidak pernah terfikir jika kita berada di tempat mereka. Apa perasaan kita bila kita lapar kita hanya dapat melihat orang lain makan dalam keadaan tenang dan gembira. Ada yang sangat kaya sehingga sanggup membayar denda lelongan rakan sendiri dengan harga rm100.000.00 yang kononnya mempertahankan kalimah ALLAH, namun bayangkan jika wang tersebut diberikan kepada pihak masjid kampung Paloh, berapa banyakkah perut keluarga susah akan dapat diisi ? Berapa ramaikah anak-anak yang menangis kelaparan dapat ditutup tangisan mereka ? 

Bangkitlah semua pemimpin masyarakat tidak kira dari parti mana atau pon mana-mana NGO, bergabunglah dengan Nama ALLAH dan agama ISLAM, bantulah mereka ini.

Akhir kata, aku mohon dan merayu pada semua yang membaca artikel aku ini, agar bersama menyumbang wang kepada pihak Masjid Kampung Paloh ini agar mereka dapat meneruskan program bantuan makanan percuma ini setiap hari kepada keluarga yang amat memerlukan.


IPOH - Ketiadaan mata pencarian tetap selain terpaksa membesarkan dua cahaya mata bersendirian menyebabkan seorang ibu muda sanggup pergi ke Masjid Paloh, di sini setiap Rabu dan Jumaat bagi mengambil makanan yang diedarkan secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan.

Norfakirah Nurbaladin, 27, berkata, bantuan itu membolehkan dia dan dua anaknya yang berusia lapan tahun dan lapan bulan mengalas perut.
"Saya hanya kerja sambilan cuci rumah dan ada juga terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi tak cukup nak tanggung kami tiga beranak.

"Saya bersyukur ada bantuan sebegini dan kalau boleh biarlah dibuat setiap hari," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian 'Soup Kitchen' Masjid Paloh, baru-baru ini.
Terdahulu, majlis itu disempurnakan oleh Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Ketha Kaur, 52, pula berkata, dia sanggup berjalan kaki kira-kira 30 minit dari rumahnya di Buntong ke masjid itu setiap kali bantuan makanan diedarkan.
“Makanan yang saya dapat ini akan dikongsi bersama anak-anak di rumah,” katanya.
Menurutnya, pendapatan sekitar RM900 sebagai tukang cuci tidak mencukupi untuk menampung hidupnya bersama empat orang anak yang berusia 15 hingga 35 tahun.

“Anak sulung saya menghidap kanser hati dan terlantar di rumah, yang lain pula masih bersekolah,” katanya.
Program dianjurkan bersama tiga badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan meringankan sedikit bebanan yang ditanggung golongan kurang berkemampuan tanpa mengira kaum dan agama.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Bakti Gunung Kledang (KBGK), Azman Yeop Junior berkata, 100 bungkusan makanan diedarkan kepada golongan berkenaan pada program itu.
“Program ini mendapat kerjasama tiga NGO iaitu KBGK, Kelab Lions Antarabangsa Ipoh dan For Wisdom And Revolutionary Development (Forward).

“Program yang telah bermula sekitar 2010 itu juga akan dijalankan tiga kali seminggu, iaitu pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat selepas solat Asar,” katanya.

SUMBER


No comments:

Post a Comment

Member BSK