Jumlah Pengunjung

Tuesday, 17 December 2013

AIR KETUM DI PERLIS TINGGAL KENANGAN !!!



Perlis menjadi negeri pertama mengharamkan penyalahgunaan daun ketum dan produk berasaskannya kerana didapati boleh memudaratkan kesihatan dan mengancam masa depan masyarakat khususnya di negeri ini.
 
Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah bermesyuarat pada bulan lalu.

Menurut beliau, dalam mesyuarat tersebut, jawatankuasa tersebut telah mendapat maklum balas daripada Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penyalahgunaan daun ketum dan produk berkaitannya.

"Daun ketum bukan sahaja mudarat, malah mengancam masa depan ummah memandangkan penyalahgunaannya dalam kalangan masyarakat telah menular secara berleluasa.

"Penyalahgunaan bermula seawal dari zaman kanak-kanak di sekolah rendah, golongan remaja dan dewasa," kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Daun ketum atau turut dikenali di sesetengah tempat sebagai daun biak lebih 'popular ' selepas diproses untuk dijadikan minuman sebelum dijual kepada penggemarnya terutama di kawasan utara tanah air.

Malah ada di antara pengusaha daun ketum yang memperoleh pendapatan lumayan kerana mendapat permintaan tinggi dari dalam negeri sehingga ke negara jiran.

Difahamkan, air daun ketum bukan sahaja diminum begitu sahaja kerana ada juga yang mencampurkannya dengan minuman seperti kopi atau air berkabonat, malah lebih drastik dicampur dengan ubat nyamuk, kononnya untuk lebih 'berkesan'.

Juanda menjelaskan, antara keburukan akibat penyalahgunaan daun ketum ialah ketagihan yang menjejaskan kesihatan dan menyebabkan berlakunya masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, penularan aktiviti penyalahgunaan daun ketum cukup membimbangkan kerana meliputi negeri-negeri di utara tanah air iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak.

Sehubungan itu, kata beliau, jawatankuasa tersebut mengusulkan supaya kerajaan melaksanakan langkah-langkah pencegahan segera termasuk mengenakan tindakan 'keras' ke atas mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan daun ketum.

Kata Juanda, peraturan atau undang-undang tegas sebagaimana penyalahgunaan dadah perlu dikuatkuasakan ke atas penyalahgunaan daun ketum bagi membendung gejala tersebut daripada berleluasa sehingga merosakkan masyarakat negara dan negeri ini.

"Ini kerana Akta Racun yang dikuatkuasakan kini masih gagal membendung aktiviti penyalahgunaan daun ketum, malah semakin menular," tambah beliau.
Juanda Jaya menunjukkan artikel mengenai kajian ketum dalam sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar, Perlis, semalam.





No comments:

Post a comment

Member BSK